JOHOR BAHRU, 13 Ogos – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor sedang mengesan waris yang layak bagi memberi perlindungan sementara atau tetap kepada kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dipercayai didera ibu dan rakannya di Pasir Gudang, kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor Khairin-Nisa Ismail @ Md On berkata, buat masa ini maklumat lanjut sedang dikumpul bagi memastikan waris berkenaan layak menjaga kanak-kanak berkenaan.
Sebelum ini, kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu berada di bawah jagaan datuk dan neneknya di Kedah, dan baru setahun tinggal bersama suspek yang juga ibu kandungnya.
Mangsa juga baru berpindah duduk dengan ibu kandung manakala kakaknya yang berusia sembilan tahun kini berada di Pokok Sena, Kedah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kelmarin tular mengenai seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun disyaki menjadi mangsa dera kepada dua wanita yang mana seorang daripadanya dipercayai ibu kandungnya.
Video menunjukkan insiden orang awam menyerbu rumah berkenaan bagi menyelamatkan mangsa tular di media sosial.
Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan suspek iaitu ibu kandung dan rakan kepada wanita itu untuk siasatan pihak PDRM.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih serta tahniah kepada JKM Johor, Pasukan Pelindung Kanak-Kanak, dan PDRM yang bekerjasama dan pantas bertindak bagi menyelamatkan kanak-kanak berkenaan,” katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada orang awam dan komuniti setempat yang peka dengan keadaan sekeliling dan terus melaporkan kejadian itu menerusi talian kecemasan.
Beliau berkata, kanak-kanak itu sudah dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dan sedang menjalani rawatan. – nasionalkini.my