in ,

Lelaki disyaki pukul anak perempuan teman wanita diburu

WhatsApp Image 2023 06 08 at 4.29.06 PM
Kanak-kanak perempuan tempatan berusia setahun yang dipercayai didera oleh teman wanita ibunya.

PETALING JAYA, 8 Jun – Seorang lelaki diburu polis selepas disyaki memukul anak teman wanitanya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rajang, Setapak, dekat sini semalam hanya kerana kanak-kanak itu membuat bising.

Timbalan Ketua Polis Wangsa Maju, Deputi Superintenden Saralathan Duraisamy berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.05 petang itu, polis menerima panggilan berhubung kes penderaan seorang kanak-kanak perempuan warga tempatan berusia setahun.

Katanya, hasil maklumat awal mendapati suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan mendera seorang kanak-kanak perempuan dan melarikan diri sebelum ketibaan polis di lokasi kejadian.

“Teman lelaki kepada ibu mangsa dikatakan menderanya di lokasi kejadian yang merupakan tempat tinggal suspek bersama ibu mangsa.

“Setelah selesai memukul mangsa, suspek bertindak menghantar kanak-kanak itu ke rumah keluarga ibunya di Jalan Rejang, Taman Setapak Jaya, dekat sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa yang mengalami bengkak pada bibir, lebam pada kedua-dua mata serta bahagian belakang badan dihantar ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini boleh menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – nasionalkini.my

WhatsApp Image 2023 06 08 at 3.03.35 PM

Remaja autisme cemerlang SPM, peroleh 8A 1B

2224094

Gandingan Aaron-Wooi Yik ke suku akhir Terbuka Singapura 2023