KUALA LUMPUR, 13 Ogos – UMNO wajar mencari formula baharu berikutan prestasi buruk parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, semalam.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengakui parti itu perlu mencari naratif baharu supaya rakyat tidak meluat dengan tingkah laku parti yang dianggap keramat dan membela orang melayu suatu ketika dahulu.
“Sekali lagi UMNO berhadapan ujian berat. Menang 19 sahaja daripada 108 kerusi yang ditandingi.
“UMNO semakin hilang sokongan orang Melayu. Bukan mudah untuk UMNO mencari formula baharu,” katanya dalam catatan Facebook, hari ini.
Bagaimanapun katanya UMNO jangan panik termasuk membuat keputusan meninggalkan Kerajaan Madani.
Sebalik katanya terus mencari jalan dan memberi tumpuan kepada ekonomi rakyat dan negara.
“UMNO perlu berani berubah dengan menampilkan ‘ayam sabung’ tulen dan bukan lagi meletakkan jawatan parti sebagai ‘tiket’ menjadi calon.
“Mereka yang kalah dan berumur 45 tahun ke atas jangan bertanding lagi di pilihan raya akan datang.
“Jawatan parti bukan tiket percuma jadi calon. Tampilkan ayam sabung tulen,” katanya.
Tambahnya lagi UMNO mesti membuat perubahan sebelum rakyat meluat dengan tingkah laku parti tersebut.
“Menteri UMNO mesti ‘deliver’. Elak rakyat meluat pada tingkah laku UMNO. Parti perlu naratif baru yang sampai kepada pengundi,” katanya. – nasionalkini.my