SEGAMAT, 19 Julai – Seorang murid tahun lima sebuah sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) di Jementah, dekat sini didakwa dirotan oleh guru besar sehingga mengakibatkan kecederaan pada badan serta mukanya.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian menerusi laman Facebook Polis Daerah Segamat kira-kira jam 11 malam semalam.
Susulan maklumat diterima, pihaknya meminta mangsa hadir ke balai polis bagi membuat laporan berhubung kejadian.
“Pada jam 12.10 tengah malam, satu laporan polis dibuat ibu mangsa mengatakan anaknya cedera di leher kiri, bahu kiri dan calar di pipi akibat dirotan guru besar wanita berusia 50-an.
“Siasatan awal mendapati pelajar itu dirotan kerana gagal menyiapkan kerja sekolah dan bersikap sambil lewa ketika sesi pembelajaran di sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Ahmad Zamry berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi sehingga pihak berkuasa selesai menjalankan siasatan penuh tentang kejadian itu.
Beliau turut meminta orang ramai, terutamanya ibu bapa yang mengetahui anak mereka menjadi mangsa keganasan atau buli di sekolah segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis dengan menghubungi talian 07-9324222. – nasionalkini.my