in

WHO pantau varian baharu COVID-19

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus (tengah) bersama pasukan pakar kesihatan awam WHO

GENEVA, 18 Ogos – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS) hari ini mengumumkan pihak masing-masing sedang melakukan pemantauan teliti terhadap varian baharu COVID-19 yang dinamakan BA.2.86.

WHO mengklasifikasikan BA.2.86 sebagai varian bawah pengawasan berikutan jumlah besar (lebih 30) mutasi gen spike yang dibawanya, menurut agensi itu dalam satu buletin mengenai pandemik berkenaan yang dikeluarkan.

Menurut WHO, hanya empat penjujukan varian berkenaan diketahui buat masa ini. Varian baharu terbabit hanya dikesan di AS, Israel serta Denmark, setakat ini.

“Ketika ini, potensi impak mutasi BA.2.86 belum diketahui dan ia sedang dinilai secara teliti,” kata WHO kepada AFP.

Dalam pada itu, Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) AS dalam kenyataan melalui laman sosial X, mengesahkan pihaknya juga sedang melakukan pemantauan teliti terhadap varian BA.2.86.

Kebanyakan negara yang mewujudkan sistem pengawasan virus COVID-19, telah menghentikan operasi terbabit kerana berpandangan penularan wabak itu tidak lagi seteruk sebelum ini.

Bagaimanapun, WHO mengecam tindakan sedemikian, sebaliknya menggesa supaya pemantauan lebih kukuh dilaksanakan.

Dalam rekod terkini membabitkan tempoh antara 17 Julai hingga 13 Ogos lalu, lebih 1.4 juta kes baharu COVID-19 dikesan dan lebih 2,300 kematian dilaporkan, menurut satu kenyataan WHO.

Jumlah jangkitan itu meningkat 63 peratus berbanding bilangan kes direkodkan dalam tempoh 28 hari sebelum itu, manakala angka korban pula menurun 56 peratus.

Setakat 13 Ogos lalu, lebih 769 juta jangkitan disahkan dan lebih 6.9 juta kematian akibat COVID-19 direkodkan di seluruh dunia.- nasionalkini.my

zahid

Tiba masa taut ukhwah, perpaduan – Ahmad Zahid

Ringgit kembali kukuh