in

Varian baharu COVID-19 belum dikesan di Malaysia

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan varian baharu COVID-19 BA.2.86 belum dikesan di negara ini.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa bagaimanapun berkata, meskipun tiada jangkitan direkodkan, KKM akan membuat pemantauan berterusan bagi mengekang penularan varian itu.

Sebelum ini, WHO menyenaraikan varian BA.2.86 sebagai varian di bawah pemantauan (Variant Under Monitoring).

Varian itu mempunyai 36 mutasi berbanding varian XBB.1.5.

Pada masa sama, Zaliha juga menggalakkan individu layak menerima vaksin COVID-19 segera mendapatkannya.

“Langkah berkenaan sebagai perlindungan selain mengurangkan risiko kemasukan ke hospital dan keterukan gejala.

“Justeru KKM menasihatkan orang ramai memakai pelitup muka terutama mereka bergejala atau apabila berada di tempat tertutup, sempit dan sesak bagi melindungi keluarga, jiran dan sahabat handai daripada mendapat jangkitan COVID-19,” katanya kepada BH, hari ini.

Sabtu lalu, Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UKHSA) mengenal pasti varian baharu COVID-19 dengan ‘bilangan mutasi yang tinggi’ dikesan di Britain.

Mutasi BA.2.86 itu dikesan membabitkan seorang individu yang tidak mempunyai sejarah perjalanan, sekali gus menunjukkan terdapat penularan ketara dalam komuniti.

Jujukan varian baharu COVID-19 itu kali pertama dikesan di Denmark pada 24 Julai lalu diikuti pada 31 Julai, iaitu hari sama ia ditemui di Israel.

Satu lagi kes jangkitan varian sama dikesan di Amerika Syarikat (AS) pada awal bulan ini.

Varian itu juga dikenali sebagai ‘Pirola’ dan dikesan di empat negara setakat ini iaitu Denmark, Israel, United Kingdom, dan Amerika Syarikat.

WHO turut memaklumkan lebih banyak maklumat mengenai varian itu perlu diperoleh termasuk kadar jangkitan atau tahap kerintangan imuniti.- nasionalkini.my

Gajah tertua di dunia mati di ladang teh

palestin mati

Lebih 200 rakyat Palestin jadi mangsa tentera Israel, setakat tahun ini