GENEVA, 21 Mei – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam melancarkan rangkaian global bagi membantu mengesan ancaman penyakit berjangkit seperti COVID-19 dengan pantas, seterusnya berkongsi maklumat bagi mencegah penyebarannya.
Rangkaian Pengawasan Patogen Antarabangsa (IPSN) akan menyediakan platform menghubungkan negara dan wilayah, menambah baik sistem mengumpul dan menganalisis sampel, menurut agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.
IPSN bertujuan membantu memastikan ancaman penyakit berjangkit dikenal pasti dan dikesan dengan pantas serta maklumat dikongsi dan diambil tindakan untuk mencegah malapetaka seperti pandemik COVID-19, dipetik dari AFP.
Rangkaian akan bergantung pada genomik patogen untuk menganalisis kod genetik virus, bakteria dan organisma lain yang menyebabkan penyakit bagi memahami tahap penularan serta cara ia merebak.
Data dikumpul akan dimasukkan ke dalam sistem pengawasan penyakit lebih luas, digunakan untuk mengenal pasti dan mengesan penyakit, dalam usaha membendung pandemik dan membangunkan rawatan dan vaksin.
Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus yang memuji rangkaian baharu itu berkata ia boleh memainkan peranan penting dalam keselamatan kesihatan.
“Seperti yang ditunjukkan dengan jelas kepada kita ketika pandemik COVID-19, dunia lebih kuat apabila ia bersatu untuk memerangi ancaman kesihatan bersama,” katanya.
IPSN yang diumumkan sehari sebelum mesyuarat tahunan negara anggota WHO bermula di Geneva, akan mempunyai sekretariat dalam Hab WHO untuk Perisikan Pandemik dan Epidemik.
Ia adalah yang terbaru daripada beberapa inisiatif dilancarkan sejak COVID-19 bertujuan meningkatkan keupayaan dunia mencegah dan bertindak balas dengan lebih berkesan terhadap ancaman pandemik.
IPSN akan mengumpulkan pakar genomik dan analitik data, diambil daripada kerajaan, akademia, sektor swasta dan tempat lain.
“Semua berkongsi matlamat yang sama: untuk mengesan dan bertindak balas terhadap ancaman penyakit sebelum ia menjadi pandemik dan untuk mengoptimumkan pengawasan penyakit rutin,” kata agensi itu.
COVID-19 menyerlahkan peranan genomik patogen yang kritikal apabila bertindak balas terhadap ancaman pandemik, dengan WHO menyatakan bahawa tanpa penjujukan pantas virus SARS CoV-2, vaksin tidak akan berkesan dan tidak akan tersedia secepat.
Varian virus baharu dan lebih mudah ditularkan juga tidak akan dikenal pasti secepat itu.
“Genomics terletak di tengah-tengah kesiapsiagaan dan tindak balas terhadap pandemik dan epidemik,” kata agensi itu, sambil menambah bahawa ia juga penting untuk pengawasan pelbagai penyakit, daripada influenza kepada HIV.
Walaupun pandemik itu mendorong negara meningkatkan kapasiti genomik mereka, agensi itu memberi amaran banyak negara masih kekurangan sistem yang berkesan untuk mengumpul dan menganalisis sampel.
IPSN akan membantu menangani cabaran sedemikian, kata Tedros, kerana ia boleh memberi setiap negara akses kepada penjujukan dan analisis genomik patogen sebagai sebahagian daripada sistem kesihatan awamnya. – nasionalkini.my