KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengajak semua pihak mempertautkan ukhuwah dan memperkukuhkan semula perpaduan bagi membangunkan negara secara bersama.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, Islam menganjurkan umatnya untuk berlapang dan mencari damai agar kita bersatu mengerah segala kudrat dan tenaga untuk bergerak secara kolektif.
Hal demikian katanya bagi mewujudkan perubahan positif yang menyumbang ke arah kebaikan.
“Telah selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, kini tiba masanya untuk kita mempertautkan ukhwah (persaudaraan) dan kukuhkan perpaduan yang bertujuan untuk membangunkan negeri dan negara secara bersama,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, sudah tiba masa untuk kita berganding bahu membangunkan kehidupan yang harmoni dengan semangat saling hormat menghormati.
“Marilah kita berdoa ke hadrat Allah agar wujudnya kesepakatan dan lahirnya kesepaduan di dalam meneguhkan perpaduan.
“Ini supaya terbinanya sebuah negara yang beroleh keberkahanNya dan Malaysia terus berada di bawah lindungan rahmatNya,” katanya.
Keputusan PRN lalu menyaksikan Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan terburuk dalam sejarah apabila parti itu hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.
Gabungan bersama Pakatan Harapan (PH) itu hanya menang 14 kerusi di Negeri Sembilan, masing-masing dua kerusi di Selangor dan Pulau Pinang serta satu di Kelantan. – nasionalkini.my