in

Thailand cadang ‘libat urus semula’ Myanmar, ASEAN

Krisis kemanusiaan membabitkan etnik Rohingya semakin memburuk di Myanmar selepas rampasan kuasa oleh junta tentera pada 2021 - Gambar oleh Reuters

BANGKOK, 17 Jun – Kerajaan sementara Thailand bercadang melakukan ‘libat urus semula sepenuhnya’ dengan pemerintah tentera Myanmar dan menjemput menteri luar ASEAN ke mesyuarat tidak rasmi esok bagi membincangkan rancangan yang terhenti sebelum ini.

Berdasarkan surat dilihat Reuters semalam, cadangan itu dibuat melalui surat bertarikh 14 Jun, daripada Menteri Luar Thailand, Don Pramudwinai, kepada rakan sejawatnya di ASEAN.

Ia disahkan tiga sumber yang mengetahui mengenai mesyuarat dirancang itu.

Dalam sidang kemuncak bulan lalu, pemimpin ASEAN menggesa supaya keganasan di Myanmar dihentikan serta-merta, yang bermula selepas tentera menggulingkan kerajaan pilihan rakyat pimpinan pemenang Nobel, Aung San Suu Kyi, dalam rampasan kuasa pada 2021.

Kekecewaan memuncak dalam kalangan beberapa ahli blok 10 negara itu mengenai cara menangani Myanmar dan pergolakan politik berdarah di negara itu, dengan langkah terbaru Thailand itu menimbulkan persoalan mengenai perpaduan kumpulan negara berkenaan.

Dua sumber yang tahu mengenai pertemuan yang dirancang esok itu memberitahu Reuters, jemputan turut membabitkan menteri luar Myanmar yang dilantik junta.

Jurucakap tentera Myanmar, bagaimanapun tidak menjawab panggilan telefon malam tadi, bagi mengesahkan perkara itu.

Mesyuarat tidak rasmi membabitkan menteri luar ASEAN bersama wakil dilantik junta tentera Myanmar dijadualkan berlangsung esok – Gambar oleh Reuters

Kerajaan Thailand pimpinan Perdana Menteri, Prayuth Chan-ocha, juga seorang bekas jeneral yang merampas kuasa dengan menggulingkan kerajaan terdahulu, sebelum ini cuba membawa junta tentera Myanmar ke meja rundingan, sama seperti usaha Brunei, Indonesia dan Kemboja sebelum itu.

Mengikut tiga sumber, Pengerusi ASEAN, Indonesia, menolak untuk menghadiri mesyuarat yang dicadangkan itu.

Kementerian Luar Indonesia memberitahu Reuters bahawa pihaknya ‘belum mendengar’ mengenai jemputan itu.

Sumber di Jakarta berkata, Indonesia menolak inisiatif Thailand itu kerana bercanggah dengan keputusan persetujuan ASEAN pada sidang kemuncak Mei lalu.

Ditanya mengenai cadangan Thailand itu, Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan, yang dalam lawatan ke Washington, memberitahu pemberita, disebabkan tiada kemajuan dalam isu di Myanmar, ‘adalah terlalu awal untuk melakukan libat urus semula dengan junta pada peringkat sidang kemuncak, malah pada peringkat menteri luar’.

Kementerian luar di Thailand enggan mengulas. Thailand dijangka mempunyai kerajaan baharu menjelang Ogos, susulan pilihan raya bulan lalu yang menyaksikan gabungan pemerintah pro tentera ditewaskan parti progresif dan populis.

Jeneral pemerintah Myanmar selama hampir dua tahun dihalang ASEAN daripada menghadiri mesyuarat peringkat tinggi kumpulan itu kerana kegagalannya memenuhi perjanjian 2021, yang dikenali sebagai ‘konsensus lima mata’.

Ia meliputi gesaan untuk menghentikan permusuhan, dialog antara semua pihak dan pemberian akses kemanusiaan penuh. – nasionalkini.my

Berkorban apa saja demi keluarga

Perjalanan terakhir ke universiti