Oleh Luth Adwa
BATU PAHAT, 19 Julai – Kematian tiga orang termasuk seorang wanita warga Myanmar di Hentian Rehat Yong Peng di sini malam tadi disahkan kerana tidur terlalu lama dengan pendingin hawa kereta terpasang.
Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 23 hingga 27 tahun itu dalam perjalanan dari Genting Highlands menuju ke Taman Air Biru, Pasir Gudang.
Menurutnya, kereta jenis Perodua Alza digunakan mangsa dipinjam daripada seorang rakan yang menetap di Johor Bahru, Johor.
“Mangsa dipercayai berhenti rehat seterusnya tidur dalam kereta di tempat kejadian.
“Hasil temubual beberapa saksi, kereta mangsa didapati diletakkan dalam tempoh masa agak lama di Hentian Rehat Yong Peng itu.
“Mangsa didapati tidak bergerak namun enjin kereta dihidupkan manakala tingkap tertutup rapat serta pintu dalam keadaan berkunci,” katanya di sini hari ini.
Shahrulanuar berkata, orang awam terpaksa memecahkan tingkap kereta selepas usaha mengejutkan mangsa gagal.
“Pemeriksaan dijalankan pasukan perubatan mendapati mangsa sudah meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat untuk proses bedah siasat dan kes disiasat sebagai mati mengejut atau SDR,” katanya.- nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN