MELAKA, 17 Jun – Ketika rakannya yang lain menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, seorang anak muda memilih untuk bekerja bagi membantu keluarga.
Danish Atib Aswadi yang baru berusia 19 tahun kini bekerja sebagai pekerja pembersihan di SWM Environment.
Anak sulung daripada enam beradik itu juga sudah terbiasa dan reda dengan perjalanan hidupnya itu.
“Banyak yang sudah saya lalui, lebih-lebih lagi selepas ibu bapa kami bercerai ketika saya berumur 11 tahun,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Danish berkata, walaupun dia tidak begitu cemerlang dalam pelajaran, namun dia akan menggunakan kudrat kesihatan yang ada untuk memastikan adik-beradiknya yang lain dapat menghabiskan persekolahan masing-masing.
“Kehidupan kami semakin baik dan sekarang kami menetap bersama bapa kandung di negeri ini.
“Bapa dan ibu tiri pun kerja di SWM Environment, jadi kami mempunyai sumber pendapatan yang mencukupi untuk menampung kehidupan kami sekeluarga,” katanya lagi.
Dia yang bertugas di kawasan sekitar pekan Paya Rumput,juga berharap orang ramai tidak terlalu memandang rendah kepada pekerja kebersihan sepertinya. – nasionalkini.my