in

Pertempuran makin sengit di Ukraine

Tentera Russia menyerang ke arah Kupyansk di wilayah Kharkiv selama dua hari berturut-turut - Gambar oleh Telegraph UK

KYIV, 17 Julai – Pertempuran di timur Ukraine bertambah sengit apabila tentera Ukraine dan Russia bertembung di sekurang-kurangnya tiga kawasan di bahagian timur, kata seorang pegawai kanan pertahanan Ukraine hari ini.

Kyiv melancarkan serangan balas yang sudah lama ditunggu-tunggu untuk merampas semula wilayah yang ditakluki Russia bulan lalu dan meraih kejayaan tambahan di bahagian timur dan selatan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Hanna Maliar, menerusi Telegram berkata, tentera Russia menyerang ke arah Kupyansk di wilayah Kharkiv selama dua hari berturut-turut.

“Kami berada di bahagian pertahanan. Terdapat pertempuran sengit, kedudukan kedua-dua pihak berubah secara dinamik beberapa kali sehari,” katanya kepada Reuters.

Maliar turut berkata, kedua-dua tentera itu bertempur antara satu sama lain di sekitar bandar Bakhmut yang musnah, namun tentera Ukraine ‘mara ke hadapan’ di sepanjang sayap selatannya.

Tambahnya, tentera Kyiv turut menangkis serangan Russia berhampiran Avdiivka dan Maryinka.

Sementara itu, Presiden Russia, Vladimir Putin, dalam temu bual dengan stesen televisyen tempatan hari ini berkata, serangan balas Ukraine ‘tidak berjaya’ dan percubaan untuk menembusi pertahanan Russia disifatkan sebagai gagal.- nasionalkini.my

Bekas KSU KPDNHEP calon PN di Dengkil

Maguire bukan lagi kapten