DELHI, 23 Ogos – Seekor gajah tertua di dunia dilaporkan mati di ladang teh India pada usia dianggarkan 89 tahun, semalam.
Penjaga haiwan itu berkata, pengesahan usia sebenar tidak dapat dilakukan, namun gajah itu dipercayai dibawa bekerja di ladang teh oleh seorang petani British semasa pemerintahan kolonial pada tahun 1940-an.
Gajah digelar ‘Bijuli Prasad’ itu diambil dari hutan dan bekerja di ladang teh di negeri timur India di daerah Sonitpur di Assam sehingga 2018.
Menurut doktor haiwan, Kushal Konwar Sarma, gajah domestik hidup sehingga 80 tahun, dengan syarat mereka dijaga dengan baik.
“Semua gigi gajah itu tercabut kerana usia dan ia tidak boleh makan, jadi saya menukar diet dan meminta penjaga memberinya makanan rebus seperti nasi dan kacang soya dengan nilai protein tinggi,” katanya yang menjaga gajah itu pada akhir usianya.
Terkenal dengan kekuatannya, Bijuli pernah mencabut kawasan semak teh lama dan membersihkan kawasan hutan dengan mudah serta pernah melawan penyerang yang cuba merampas gadingnya yang panjang, lapor The Times of India.
Bijuli bersara di Ladang Teh Behali di Assam, di mana haiwan itu dilaporkan mati semalam dan diberi penghormatan pengebumian dengan istiadat Hindu yang dijalankan oleh seorang sami sebelum ditanam.
Gajah Asia liar biasanya hidup sehingga pertengahan 50-an, walaupun data tepat adalah terhad, menurut Institut Biologi Pemuliharaan Smithsonian berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Gajah tertua yang diketahui mati pada usia 86 tahun dikenali ‘Lin Wang’ yang ditempatkan di Zoo Taipei pada 2003, menurut Rekod Dunia Guinness.
Ia ditugaskan membawa bekalan melalui Burma ketika itu untuk pasukan Jepun dalam Perang Dunia II.- nasionalkini.my