PUTRAJAYA, 12 Julai – Kementerian Luar Negeri melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi sedang giat menyelaras usaha dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengesan 12 rakyat Malaysia di Himachal Pradesh, India.
Ia susulan laporan berhubung sekumpulan rakyat Malaysia masih tidak dapat dihubungi ahli keluarga masing-masing berikutan fenomena hujan lebat melanda Wilayah Utara India pada Ahad lalu.
Wisma Putra menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi telah dimaklumkan bahawa kumpulan berkenaan sedang menyertai ekspedisi pengembaraan di Hampta Pass, Himachal Pradesh, India.
Suruhanjaya Tinggi Malaysia juga akan terus memantau perkembangan di Himachal Pradesh dan menasihatkan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular untuk berhubung terus dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di alamat 50-M Satya Marg, Chanakyapuri, New Delhi 110021 atau talian +91 85955 50594 dan e-mel [email protected].
“Rakyat Malaysia juga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan terus berwaspada serta sentiasa mengikuti perkembangan cuaca di setiap lokasi dikunjungi,” katanya, lapor Bernama.
Media tempatan Times of India melaporan hujan lebat di pergunungan Manali, Himachal Pradesh mengorbankan sekurang-kurangnya 22 orang, selain menyebabkan tanah runtuh dan banjir kilat di wilayah itu.- nasionalkini.my