WASHINGTON, 21 Julai – Ratusan ribu pemilik akaun di Amerika Syarikat (AS) dilaporkan terjejas selepas penggodam China menggodam akaun e-mel Duta Besar AS ke China, Nicholas Burns, dalam operasi pengintipan, lapor Wall Street Journal (WSJ).
Akaun Penolong Setiausaha Negara untuk Asia Timur, Daniel Kritenbrink, turut digodam, menurut pendedahan awal bulan ini oleh Microsoft, menurut laporan itu.
Selain itu, turut tersenarai dalam operasi itu ialah Setiausaha Perdagangan AS, Gina Raimondo, sehingga mendorong amaran diberikan oleh diplomat tertinggi Washington kepada rakan sejawatannya dari China.
Ditanya mengenai pelanggaran akaun dua diplomat yang dilaporkan, Jabatan Negara AS enggan memberikan sebarang butiran dan berkata siasatan terhadap operasi pengintipan itu sedang dijalankan.
Dalam pada itu, Kedutaan China di Washington enggan mengulas lanjut tetapi Kementerian Luar Negeri China sebelum ini menyifatkan tuduhan itu sebagai ‘salah maklumat’.
Minggu lalu, Microsoft berkata penggodam China menyalahgunakan salah satu kunci digitalnya dan memperalatkan kecacatan dalam kodnya untuk mencuri e-mel daripada agensi kerajaan AS dan pelanggan lain.
Bagaimanapun, syarikat enggan mengulas mengenai laporan terbaru WSJ dan pelanggaran itu menyebabkan amalan keselamatan Microsoft diletakkan di bawah pemerhatian.
Pegawai serta penggubal undang-undang menggesa syarikat berpangkalan di Redmond, Washington itu untuk memastikan pengauditan digitalnya berada pada peringkat tertinggi selain tersedia kepada semua pelanggannya secara percuma.
Minggu lalu, Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih, Adam Hodge berkata, pencerobohan dalam keselamatan Microsoft ‘menjejaskan sistem yang tidak disenaraikan’, tanpa mengulas lanjut.
“Pegawai segera menghubungi Microsoft untuk mencari puncanya dan kelemahan dalam perkhidmatan pengkomputeran awan mereka,” kata Hodge.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Negara AS, dalam satu kenyataan berkata pihaknya ‘mengesan kegiatan mencurigakan’ dan ‘mengambil langkah segera bagi melindungi sistem operasi’.- nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN