in

Amerika sekat teknologi China

Washington sedang mempertimbangkan mekanisme semakan pelaburan keluar, dan larangan selanjutnya terhadap eksport cip kecerdasan buatan (AI) ke China - Gambar hiasan

WASHINGTON, 20 Julai – China tidak mahu terbabit dalam perang perdagangan atau teknologi, tetapi akan bertindak balas jika Amerika Syarikat (AS) mengenakan lebih banyak sekatan ke atas sektor pembuatan cipnya, kata duta China ke Washington semalam.

Duta Besar China, Xie Feng, pada Forum Keselamatan Aspen China, berkata negara itu tidak mengelak daripada persaingan, tetapi cara ia ditakrifkan oleh AS adalah tidak adil.

Beliau merujuk kepada larangan sedia ada AS terhadap import peralatan China untuk membuat cip yang lebih canggih.

“Ini ibarat… memaksa pihak lawan memakai pakaian renang ketinggalan zaman dalam pertandingan, sedangkan anda sendiri (sedang) memakai Speedo,” katanya.

Xie merujuk kepada laporan bahawa Washington sedang mempertimbangkan mekanisme semakan pelaburan keluar, dan larangan selanjutnya terhadap eksport cip kecerdasan buatan (AI) ke China.

Duta Besar China, Xie Feng

“Kerajaan China tidak boleh berdiam diri. Ada pepatah Cina menyebut, kami tidak akan… lakukan provokasi, tetapi kami tidak akan digertak menggunakan provokasi.

“China, semestinya… akan bertindak balas. Bagaimanapun, kami tidak menyasarkan ke arah itu. Kami tidak mahu… perang perdagangan, perang teknologi, kami ingin mengucapkan selamat tinggal kepada Tirai Besi dan juga Tirai Silikon,” katanya kepada Reuters.

Pentadbiran Biden sudah memuktamadkan perintah eksekutif yang akan menyekat pelaburan tertentu dalam sektor tertentu termasuk semikonduktor, pengkomputeran kuantum dan AI.

Menurut seorang pegawai kanan pentadbiran, ia menyasarkan mencapai penyelesaian muktamad menjelang Hari Buruh.

China menyasarkan pembuat cip AS, Micron Technology, selepas Washington mengenakan beberapa siri kawalan eksport ke atas komponen dan alat pembuatan cip AS untuk memastikan ia tidak digunakan bagi meningkatkan keupayaan ketenteraan China.

Mei lalu, Pentadbiran Keselamatan Siber China berkata, Micron gagal dalam semakan keselamatannya dan menghalang pengendali infrastruktur domestik utama daripada membeli produknya.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen, minggu lalu ketika mengakhiri lawatannya selama empat hari ke China, berbincang dengan rakan sejawatannya dari China mengenai arahan yang dicadangkan itu.

Beliau dipetik berkata, sebarang sekatan pelaburan akan ‘disasarkan, dan diarahkan dengan jelas, tertumpu kepada beberapa sektor terutama yang berkaitan keselamatan negara’.

Jelasnya, arahan itu akan digubal secara telus, melalui proses mewujudkan peraturan yang membenarkan orang awam mengemukakan pendapat.- nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

Resepi asam pedas keluarga pembuka selera

KPDN tahan lelaki isi minyak diesel dalam tangki tambahan