JELEBU, 29 Mac – Pasangan suami isteri yang memulakan kembara bermotosikal sejauh 14,000 kilometer (km) dari Jelebu ke Tanah Suci Makkah sejak 19 Mac lalu bagi menunaikan haji, selamat tiba di sempadan Laos-China kira-kira jam 4 petang tadi (waktu tempatan).
Mohd Rahmat Mohammed Amin, 38, bersama isteri, Nurazlinda Mohamad, 36, dijangka memasuki sempadan Mohan, China, dari Boten, Laos, pagi esok, sebelum meneruskan perjalanan hingga ke Jinghong sejauh kira-kira 200km dan bermalam di sana.
Mohd Rahmat dari Taman Bukit Mohagani, ketika dihubungi BH Online berkata dia dan isteri berada dalam keadaan sihat, selain motosikal ditunggang mereka juga berada dalam keadaan memuaskan.
Dia memaklumkan jika tiada sebarang halangan, mereka dijangka memasuki Tibet pada 31 Mac ini untuk meneruskan perjalanan ke Nepal melalui Himalaya.
Katanya, dia dimaklumkan laluan Tibet-Himalaya hanya akan dibuka kepada umum bermula 1 April depan berikutan kerja pembersihan laluan sedang dijalankan berikutan salji tebal.
Pasangan itu yang menyimpan hasrat sejak tiga tahun lalu untuk ke Tanah Suci Makkah dengan menunggang motosikal Yamaha Fz 150, dijangka tiba di sempadan Nepal pada 6 April depan jika perjalanan lancar.– nasionalkini.my