GUA MUSANG, 21 Julai – Dua beranak maut apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori muatan kayu di Kilometer (KM) 37 Jalan Gua Musang-Jeli disini, petang semalam.
Dalam kejadian 6.15 petang itu, mangsa, Mohd Zuki Mohamed Ali, 55, yang juga pemandu ambulans meninggal dunia selepas cedera di kepala, badan dan putus tangan kanan.
Anaknya, Muhammad Hasbullah, 15, yang berada di tempat duduk penumpang belakang, juga maut di tempat kejadian.
Seorang lagi anak mangsa, Muhamad Huzaifah, 18, yang duduk di bahagian penumpang hadapan cedera di dada dan dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata siasatan awal mendapati mangsa bersama dua anak lelakinya dalam perjalanan dari arah Gua Musang menuju ke Jeli.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian di mana keadaan jalan yang sedikit berselekoh, kereta jenis Proton Saga FL yang dipandu mangsa masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori jenis Isuzu yang membawa muatan kayu.
“Akibat pertembungan itu, pemandu kereta dan anaknya yang berada di tempat duduk penumpang belakang maut di tempat kejadian.
“Anaknya yang berada di tempat duduk penumpang hadapan mengalami kecederaan di dada dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, lapor BH.
Beliau berkata, mayat dua beranak itu dibawa ke Unit Forensik HGM untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian boleh menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Gua Musang di talian 099121222 atau Pegawai Penyiasat di 017-2830392,” katanya.- nasionalkini.my