KUALA LUMPUR 30 Mei – AmInvestment Bank Research mengekalkan pandangan ‘underweight’ terhadap sektor sarung tangan getah memandangkan prestasi syarikat pengeluar dijangka merekodkan hasil yang lemah bagi tahun kewangan 2023 (FY23) dan FY24.
Namun, penganalisisnya, Chee Kok Siang mendapati harga saham syarikat pengeluar sarung getah melonjak antara 30 hingga 60 peratus sejak 2 bulan lalu di sebalik prestasi kewangan yang kurang memuaskan.
Menurutnya, kerugian berkemungkinan mengecil pada suku kedua dan seterusnya hasil daripada penyederhanaan harga gas asli, tetapi prospek pendapatan sektor ini belum mampu menyokong penilaian semasa yang tinggi.
“Kami juga mendapati pemain industri ini pada suku kedua masih belum menerima sebarang pesanan yang signifikan, tetapi sebaliknya menunjukkan beberapa kelemahan jualan akibat kenaikan harga jualan purata (ASP).
“Oleh itu, buat masa ini, kami mengekalkan jangkaan pada suku ketiga bermulanya penambahan inventori dalam kalangan pengeluar sarung tangan getah, walaupun pemulihannya adalah secara berperingkat-peringkat,” katanya dalam nota kajian.
Pada 19 Mei lalu, pengeluar sarung tangan getah terbesar China, Intco Medical Technology menerbitkan keputusan taklimat yang menunjukkan syarikat itu menganggap kenaikan ASP dalam industri sebagai lebih daripada trend jangka sederhana hingga panjang berbanding jangka pendek.
Ini membayangkan bahawa pembuat sarung tangan Malaysia, yang mempunyai struktur kos yang lebih tinggi, mendahului dalam kenaikan ASP berbanding pengeluar China.
Secara dasarnya, pembuat sarung tangan di negara ini kebanyakannya mula menaikkan ASP sejak Mac 2023.
Kok Siang berkata, sekiranya pemain industri di Malaysia mendahului kenaikan ASP dan bukannya China (yang menjual pada harga diskaun AS$3-AS$4 per 1,000 keping terutama disebabkan kelebihan arang batu), ini boleh mengakibatkan lebih banyak pesanan jualan mengalir kepada pemain China.
Keadaan ini, jelasnya, akan menyaksikan syarikat Malaysia kehilangan bahagian pasaran kerana Intco terus mengutamakan bahagian pasaran berbanding keuntungan walaupun mengalami kerugian selama 2 suku berturut-turut.
“Ia secara tidak langsung mengaburi prospek kemampanan kenaikan ASP di Malaysia memandangkan kekurangan sokongan volum jualan untuk pemain di peringkat domestik,” katanya. – nasionalkini.my