in

Perkenal dasar jelas, tumpu jaminan pekerjaan

IMG 20230517 WA0005
Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Armin Baniaz Pahamin

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Kerajaan perlu memberi tumpuan dalam menjamin pekerjaan dengan memperkenalkan dasar yang boleh mengukuhkan atau memperkenalkan ekosistem industri tempatan baharu supaya permintaan untuk warga kerja tempatan terus meningkat.

Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Armin Baniaz Pahamin berkata, setidaknya dasar baharu itu akan meningkatkan permintaan dari ekonomi.

“Apabila industri mencatat keuntungan dan berdaya saing, kerajan boleh memperkenalkan gaji minimum atau gaji progresif.

“Tetapi apabila syarikat-syarikat masih belum berdaya tahan dan kukuh kewangannya, kerajaan tidak patut memperkenalkan apa-apa dasar yang boleh menaikkan kos operasi.

“Akhirnya akan dibebankan kepada pelanggan dan menjejaskan kedudukan pekerja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang menyatakan kerajaan sedang meneliti secara dasar sistem gaji progresif di negara ini dengan perbincangan serta proses libat urus mengenainya sudah bermula membabitkan pelbagai sektor.

Rafizi berkata, dasar atau model gaji progresif akan dibangunkan secara bersama membabitkan Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan (MOF); Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Armin berkata, ekonomi negara perlu dipacu oleh kerajaan dengan tumpuan dan hala tuju yang nyata supaya sumber negara yang terhad dapat disalurkan untuk memajukan industri tempatan yang terpilih.

“Masalah utama ekonomi negara ialah kebergantungan kepada barangan import menjejaskan harga barangan jualan terutama produk yang bergantung kepada bahan mentah impot contohnya baja bagi tanaman dan dedak untuk ternakan.

“Kenaikan gaji akan dibebankan kepada pelanggan dengan harga jualan yang lebih tinggi,” katanya.

Menurutnya, model gaji minimum, pemberian gaji progresif atau kenaikan caruman KWSP majikan akan menyebabkan kos operasi syarikat meningkat dengan keuntungan yang merudum.

“Malah, banyak juga syarikat yang mengalami kerugian dan masih belum pulih daripada kesan pandemik Covid-19,” jelasnya.

Katanya, keadaan ekonomi semasa memerlukan dasar yang boleh membantu syarikat mengekalkan jumlah pekerja atau membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Tambahnya, dasar-dasar yang menaikkan kos operasi syarikat akan menjejas keuntungan dan berkemungkinan lebih ramai majikan terpaksa mengurangkan jumlah pekerja atau berisiko menutup terus operasi. – nasionalkini.my

20230517 094922

Prayuth ‘tutup mulut’ hala tuju lepas pilihan raya

IMG 20230517 WA0006

Kenaikan OPR jejas sektor hartanah