KUALA LUMPUR 14 Mei – Meskipun Malaysia mencatat pertumbuhan yang lebih baik daripada jangkaan pada suku pertama 2023, namun ketidaktentuan luaran masih membimbangkan.
Jumaat lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan prestasi ekonomi suku pertama yang menyaksikan ekonomi Malaysia berkembang 5.6 peratus didorong terutamanya perbelanjaan sektor swasta.
Selain itu, perbelanjaan isi rumah yang meningkat, aktiviti pelaburan yang berterusan, pasaran buruh bertambah baik dan aktiviti pelancongan yang lebih giat.
Menurut MIDF Research, ketidaktentuan luaran dan pengetahan dasar monetari di kebanyakan negara, akan terus mempengaruhi pertumbuhan ekonomi.
Faktor itu mendorong firma berkenaan mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih sederhana pada 4.2 peratus tahun ini.
“Pertumbuhan lebih perlahan ini disebabkan terutamanya penurunan prestasi perdagangan luar, dengan mengambil kira jangkaan kelembapan dalam permintaan global.
“Disebabkan kadar faedah yang lebih tinggi, sentimen perniagaan kurang menyakinkan seperti yang dicerminkan dalam tinjauan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Global S&P dan tekanan inflasi yang tinggi, permintaan domestik di Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) dijangka lembap tahun ini,” katanya, hari ini.
Pertumbuhan eksport sebenar Malaysia tahun ini diunjur pada 3%, sebahagiannya disokong oleh peningkatan eksport perkhidmatan melalui aktiviti pelancongan.
Memandangkan China dibuka semula lebih awal daripada yang diramalkan, MIDF Research yakin ini akan memberikan rangsangan tambahan kepada eksport perkhidmatan Malaysia dan aktiviti pelancongan.
“Bagaimanapun, kami percaya perdagangan luar Malaysia akan terus mendapat manfaat daripada eksport komoditi terutamanya minyak sawit, petroleum mentah dan gas asli cecair (LNG) kerana harga minyak mentah mentah dan Brent masing-masing kekal tinggi pada RM3,500 satu tan metrik dan AS$86 setong,” jelasnya.
Sementara itu, UOB Global Economics & Markets Research dalam nota kajiannya mengambil langkah berhati-hati terhadap kemungkinan berlaku kelembapan ekonomi pada suku akan datang.
Menurutnya, ia dipengaruhi prospek luaran yang semakin tidak menentu berikutan keadaan kewangan global yang lebih ketat, perbankan AS dan kebimbangan siling hutang, risiko geopolitik yang berlarutan dan tanda-tanda yang bercampur-campur mengenai pemulihan pasca-pandemik di China.
“Kami juga melihat tanda-tanda normalisasi dan penyederhanaan dalam aktiviti ekonomi domestik yang dijangka berlaku selepas Hari Raya Aidilfitri.
“Rasionalisasi subsidi pula mungkin dilaksanakan pada separuh kedua 2023 (bermula Julai paling awal) yang boleh menimbulkan lebih banyak tekanan kepada inflasi harga pengguna, kos sara hidup dan kos operasi perniagaan sekiranya ia menjadi kenyataan dan membebankan penggunaan sektor swasta,” katanya.
Bagaimanapun, firma itu menyemak semula unjuran KDNK bagi 2023 sebanyak 4.4% daripada 4% sebelum ini setelah mempertimbangkan prospek lebih cerah pada separuh kedua.
Antaranya, dipengaruhi prospek pelaburan yang pulih dengan kukuh, aktiviti pelancongan, kadar pengangguran lebih rendah dan langkah dasar yang menyokong terutamanya penghapusan beransur-ansur kawalan harga dan subsidi sekali gus mampu membendung tekanan inflasi. – nasionalkini.my