KUALA LUMPUR 15 Mei – Eversendai Corporation Bhd. menerusi anak syarikatnya di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Arab Saudi, India dan Singapura memperoleh sembilan projek baharu bernilai RM1.1 bilion.
Di sebalik pelbagai cabaran, kumpulan meramalkan 2023 sebagai tahun pemulihan dan berdaya tahan selepas berdepan impak COVID-19, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Dengan tunggakan semasa perolehan projek yang terjamin dan prospek pasaran keseluruhan yang positif di kawasan geografi utama operasi kumpulan, ia menjangkakan pemulihan beransur-ansur dan stabil pada 2023.
Nilai tender Eversendai dianggarkan kira-kira RM11 bilion dengan beberapa projek mercu tanda ikonik yang menarik dan mempunyai prospek yang tinggi dalam perancangan terutamanya di Arab Saudi dan India.
Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri A K Nathan berkata, kumpulan yakin dapat mengatasi cabaran untuk pulih dengan pasukan yang komited untuk membentuk semula Eversendai kembali stabil dan mampan pada masa hadapan.
Katanya, dengan projek baharu itu, ia secara tidak langsung akan meningkatkan lagi pertumbuhan kumpulan.
“Kumpulan itu telah memulakan semakan dalaman yang komprehensif dan menyeluruh terhadap anggaran kos dan margin semua projek yang sedang dijalankan bagi memastikan pengiktirafan berhemat terhadap keuntungan dan mengukuhkan lagi kawalan operasi dan pengurusan.
“Fokus kami adalah untuk mengukuhkan perniagaan dan menumpukan pada geografi yang mana kami mempunyai kelebihan dari segi daya saing yang kukuh dan peluang untuk pertumbuhan,” katanya.
Pada 2022, kumpulan berdepan tempoh mencabar dan kelembapan dalam pasaran utama ditambah pula dengan gangguan yang berlarutan daripada isu berkaitan COVID-19.
Situasi itu mengakibatkan jumlah penggunaan kapasiti fabrikasi Eversendai hanya mencapai paras 30%.
Ini adalah kali pertama dalam sejarah kumpulan bahawa mereka menghadapi penggunaan rendah kemudahan fabrikasi seperti yang dicerminkan dalam keputusan kewangan kumpulan untuk 2022. – nasionalkini.my