in

Kejatuhan nilai ringgit bawa kebaikan

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli

ISKANDAR PUTERI, 28 Mei – Kerajaan tidak bercadang menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi negara tahun ini, walaupun nilai ringgit menyusut sejak kebelakangan ini.

Namun Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata kerajaan akan terus meneliti dan memantau perkembangan semasa mata wang tempatan itu sebelum sebarang langkah diambil.

Katanya, penyusutan nilai ringgit yang direkodkan sejak dua minggu ini banyak dipengaruhi hasil perbincangan mengenai had siling hutang Amerika Syarikat (AS) sekaligus mempengaruhi sentimen pasaran.

“Setakat ini, masih terlalu awal untuk kita menetapkan kejatuhan mata wang ringgit untuk satu dua minggu ini akan ada kesan kepada unjuran pertumbuhan ekonomi negara.

“Kita kena tunggu data perdagangan dan ekonomi dalam dua bulan ini.

“Apa yang mempengaruhi unjuran pertumbuhan bukan semata-mata kadar nilai turun naik ringgit namun lebih kepada aktiviti perdagangan termasuk eksport, import, harga minyak dan sebagainya,” katanya, lapor BH.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Libat Urus (SLU) Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 (RMK ke-12) bersama Kerajaan Johor, di sini, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan dilaporkan mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara pada kadar empat hingga lima peratus tahun ini.

Kelmarin, matawang ringgit dilaporkan terus menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang lain dalam tempoh enam bulan dan ketika ini didagangkan menghampiri paras rintangan pada 4.6257 berikutan krisis siling hutang AS, kata Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Kali terakhir unit tempatan diniagakan pada paras semasa adalah pada 11 November 2022.

Dalam pada itu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan, berkata kejatuhan nilai ringgit ketika ini turut membawa kebaikan.

Katanya, pendapatan negara terutama sektor minyak meningkat berikutan harganya diniagakan dalam nilai dolar Amerika.

“Lebih tinggi harga minyak dan ringgit yang lemah bermakna lebih banyak duit kita dapat, namun bagi eksport kita adalah sebaliknya.

“Jadi, kita akan terus memantau situasi tapi setakat ini tiada sebarang keperluan untuk menyemak semula unjuran,” katanya. – nasionalkini.my

20230508 092523

KKM naik taraf 42 klinik daif di Pahang

IMG 20230528 WA0011

Sukan permotoran jadi tarikan TMM2024