KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka kekal pada paras semasa 3.00 peratus untuk baki tahun ini memandangkan tekanan harga terus reda, demikian kata penganalisis.
TA Securities tidak menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengetatkan dasar monetarinya, justeru, bank pusat itu dijangka mengekalkan OPR pada 3.00 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada 6 hingga 7 September ini.
Ia berkata, permintaan domestik dijangka berdepan cabaran dari segi momentum memandangkan eksport yang lemah memberi kesan kepada pendapatan perniagaan dan menjejaskan pertumbuhan pelaburan, pengambilan pekerja dan upah.
“Kami percaya hasil daripada langkah Belanjawan 2024 dan rancangan jangka sederhana lain seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 mungkin memberi sedikit dorongan kepada sektor perniagaan dan pelaburan,” katanya dalam nota penyelidikannya.
Sementara itu, Kenanga Research juga menjangkakan BNM telah mencapai akhir kitaran normalisasi dasar monetarinya dan akan mengekalkan OPR pada 3.00 peratus untuk tempoh enam hingga 12 bulan.
Ia berkata, keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang lemah daripada dijangkakan bagi suku kedua 2023 tidak akan mendorong bank pusat ke arah pengurangan kadar, terutama inflasi teras masih kekal tinggi berbanding purata jangka panjangnya.
“Tambahan pula, memandangkan persepsi BNM bahawa pendirian dasar monetari semasa adalah sedikit akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi, peluang untuk mengurangkan kadar kelihatan samar,” katanya.- nasionalkini.my