KUALA LUMPUR, 17 Mei – Pasaran hartanah dijangka berdepan kesan negatif berikutan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) pada Mei lalu kepada 3 peratus.
Namun, penganalisis MIDF Research, Jessica Low Jze Tieng berkata, impak itu hanya akan dirasai dalam tempoh singkat memandangkan Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin mengekalkan kadar tersebut sepanjang tahun ini.
Dianggarkan setiap kenaikan 25 mata asas (bps) akan meningkatkan bayaran ansuran bulanan sekitar RM60 hingga RM70 sebulan bagi pinjaman rumah bernilai RM500,000.
“Kenaikan OPR ini akan memberi sedikit kesan negatif kepada sektor hartanah kerana ia mengurangkan minat pembeli ekoran bayaran bulanan yang lebih tinggi.
“Kita mungkin akan menyaksikan berlakunya kejutan mendadak dalam permohonan pinjaman dalam tempoh beberapa bulan akan datang, tetapi kesannya tidak terlalu lama,” katanya dalam nota kajian hari ini.
Berdasarkan data dikeluarkan BNM, permohonan pinjaman hartanah kekal kukuh pada Mac 2023, meningkat 21 peratus bulan ke bulan selepas merekodkan pertumbuhan 2 digit pada Februari apabila BNM menghentikan seketika kenaikan OPR.
Ini menyaksikan pinjaman diluluskan meningkat 37.3 peratus bulan ke bulan pada Mac berbanding Februari, melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh lebih 2 tahun.
Pada suku pertama 2023, data itu menunjukkan kelulusan pinjaman meningkat 10.9 peratus tahun ke tahun yang mencerminkan prospek jualan lebih baik bagi pemaju hartanah.
Bagaimanapun, Jze Tieng menjangkakan permohonan pinjaman mungkin kembali perlahan dalam tempoh beberapa bulan akan datang disebabkan kenaikan OPR.
Secara keseluruhan, MIDF Research mengekalkan pandangan ‘neutral’ terhadap sektor hartanah dengan unjuran positif.
Saham Mah Sing Group Bhd. dan Glomac Bhd. menjadi pilihan utama firma itu berikutan pendedahan mereka terhadap segmen pasaran rumah mampu milik dan pasaran pertengahan. – nasionalkini.my