KUALA LUMPUR, 29 Mei – Lebih 50 peratus pinjaman daripada golongan B40 dan kumpulan mudah terjejas adalah dalam instrumen kadar tetap, justeru, kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) tidak memberi kesan kepada bayaran bulanan mereka, demikian menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Menjawab kritikan beberapa pihak berhubung kenaikan OPR, Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus bagaimanapun berkata, pihaknya menyedari bahawa sesetengah individu mungkin lebih terjejas daripada yang lain disebabkan kenaikan kadar tersebut.
Jelasnya, OPR adalah instrumen yang digunakan untuk memberi kestabilan harga dan tidak membezakan antara mereka yang mempunyai atau tidak pinjaman dalam penghantarannya kepada ekonomi.
“Bagaimanapun, jika kita tidak menguruskan tekanan harga berlebihan seperti dilihat dalam beberapa ekonomi lain, ini akan menjejaskan semua orang.
“Kumpulan B40 dan mudah terdedah adalah mereka yang paling terjejas jika kita membiarkan inflasi tidak terkawal, dan kita tidak akan dapat mengekalkan pertumbuhan mampan dalam jangka panjang.
“Kita tidak boleh dan tidak sama sekali membiarkan perkara itu berlaku,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana peminjam sama ada B40 mahupun M40, individu atau perniagaan – yang berdepan kesukaran membayar pinjaman supaya menghubungi bank atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk mencari kaedah pembayaran balik alternatif yang sesuai.
Nor Shamsiah berkata, keputusan dibuat berhubung OPR bukanlah sesuatu yang diambil mudah kerana terdapat banyak faktor dipertimbangkan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC).
“Analisis kami adalah berdasarkan rangkaian luas data yang berpandangan ke hadapan dan penglibatan dengan pelbagai industri dan pengguna,” katanya.
Menurutnya, menjelang keputusan pada Mei, kenaikan OPR selanjutnya dijangka secara meluas oleh pemerhati pasaran kewangan sejajar dengan komunikasi bank pusat mengenai normalisasi ‘berperingkat dan terkawal’, walaupun terdapat pandangan berbeza mengenai tempoh kenaikan yang tepat.
“Ramai menjangkakan kami akan melakukannya pada separuh kedua tahun ini tetapi ada yang menyatakan bahawa ia adalah tepat pada masanya untuk berbuat demikian pada Mei bagi mengelakkan inflasi daripada berakar umbi memandangkan pertumbuhan ekonomi berdaya tahan.
“Hakikatnya, kita belum lagi keluar daripada tempoh sukar dan perlu berjaga-jaga,” tambahnya.
Mengulas lebih lanjut, beliau berkata, kenaikan OPR baru-baru ini juga bukan dibuat secara pra-matang, sebaliknya dipertimbangkan dengan teliti dalam usaha membendung inflasi.
Tegasnya, ia adalah tindakan awal mengawal inflasi daripada menunggu sehingga sudah terlambat untuk berbuat sesuatu.
“Kenaikan OPR pada 3 Mei lalu sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus, adalah untuk memastikan Malaysia mempunyai pertumbuhan ekonomi yang mapan dan stabil, yang mana tidak akan capai jika inflasi tidak terkawal,” katanya.
Mengenai kritikan ‘OPR tidak membantu prestasi ringgit’, beliau berkata, nilai ringgit berbanding mata wang lain ditentukan oleh pasaran dan ia mencerminkan perkembangan berterusan dalam dan luar negara.
Pada masa ini, ujarnya, pergerakan dolar AS terus menjadi faktor utama yang mempengaruhi mata wang lain, termasuk ringgit.
Secara khusus, permintaan yang lebih tinggi untuk dolar AS sebahagiannya disebabkan ketidakpastian terhadap siling hutang kerajaan AS dan data ekonomi China yang mengecewakan pada April.
Sentimen terhadap ringgit turut terjejas oleh pandangan tentang kepentingan hubungan perdagangan antara Malaysia dan China.
“Tambahan pula, kenaikan OPR dilakukan pada kadar yang lebih beransur-ansur berbanding dengan negara setara utama dan serantau, menjadikan OPR paling rendah di rantau ini,” jelas beliau. – nasionalkini.my