in

Usah panik, OPR mungkin kekal 3% hingga akhir tahun – Penganalisis

8170d8e0 8fa4 4a7e 875e e5e1a63e92ba

KUALA LUMPUR 7 Mei – Meskipun keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) dalam mesyuaratnya pada Rabu mengejutkan sebahagian besar penganalisis, namun, mereka turut menjangkakan kadar itu kekal hingga akhir tahun ini.

Selepas menangguhkan seketika kenaikan OPR pada Januari dan Mac lalu, bank pusat menaikkan kadar yang menjadi penanda aras pinjaman itu kepada 3%, kenaikan kali pertama tahun ini dan kelima selepas pandemik COVID-19.

Menurut AmInvestment Bank, OPR kini telah mencapai paras sebelum krisis pandemik selepas mengalami kenaikan sebanyak 125 mata asas (bps) sejak Mei 2022 dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC).

Jelasnya, pada paras itu, jangkaan firma terhadap kenaikan OPR telah direalisasikan, tetapi kemungkinan normalisasi dasar monetari di Malaysia sudah berakhir.

Ini mengambil kira prospek pertumbuhan global yang kurang meyakinkan terutamanya di seluruh negara maju, sebahagian besarnya disebabkan kesan kumulatif daripada pengetatan dasar monetari global dan risiko penurunan ekoran krisis perbankan di Amerika Syarikat (AS).

“Bagaimanapun, satu perkara yang kami ambil perhatian daripada kenyataan BNM – “mengikut kekukuhan ekonomi Malaysia yang berterusan, MPC juga mengiktiraf keperluan untuk memastikan bahawa pendirian dasar monetari adalah sesuai untuk mengelakkan risiko ketidakseimbangan kewangan pada masa hadapan. Pada tahap semasa, pendirian dasar monetari adalah sedikit akomodatif dan kekal menyokong ekonomi.”

“Pernyataan ini boleh membayangkan bahawa pelarasan kadar faedah pada masa hadapan mempunyai kemungkinan, bergantung pada bagaimana ekonomi dan petunjuk inflasi teras berkembang untuk bulan-bulan akan datang,” jelas firma itu dalam nota kajiannya.

Kenanga Research pula berpendapat, BNM mungkin telah mencapai sasaran normalisasi dasarnya buat masa ini, meskipun mempunyai ruang untuk pelarasan.

Ini sejajar dengan pernyataan MPC bahawa ia “akan terus memastikan bahawa pendirian dasar monetari kekal konsisten dengan prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.”

“Walaupun kami telah menyemak semula unjuran inflasi utama 2023 kepada 2.9% daripada 2.5% sebelum ini, setelah mengambil kira kemungkinan pelaksanaan rasionalisasi subsidi, namun, kami percaya kadar dasar semasa adalah mencukupi untuk mencapai inflasi yang sederhana dan pertumbuhan mampan.

“Malah, ia juga berdasarkan andaian bahawa pertumbuhan dalam negeri terdedah kepada risiko luar dalam keadaan kelembapan ekonomi global yang semakin meningkat akibat keadaan kewangan yang lebih ketat dalam ekonomi maju,” katanya.

Sementara itu, Fitch Solutions turut menjangkakan kadar tersebut kekal sepanjang tahun ini, memandangkan BNM telah mengakhiri kitaran kenaikan.

Menerusi sebuah syarikatnya, BMI, agensi itu percaya bank pusat akan mengalihkan tumpuannya bagi menyokong pertumbuhan dalam beberapa bulan akan datang memandangkan inflasi semakin menyederhana.

“Pandangan ini disokong oleh kenyataan yang dikeluarkan oleh bank pusat, di mana ia percaya pendirian dasar monetari semasa ‘adalah akomodatif dan kekal menyokong ekonomi’,” jelasnya. – NasionalKini.my

FB IMG 1683440554999

Peruntukan tambahan pembangunan RM1 bilion untuk N Sembilan

WhatsApp Image 2023 05 07 at 16.34.41

Laporan siasatan kes buli pelatih TUDM hampir siap