in

Industri halal Malaysia terbaik di dunia

Gambar hiasan

PETALING JAYA, 7 Julai – Malaysia kini berada di barisan hadapan industri produk halal dunia dengan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.1 peratus menjelang 2025 menerusi Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030.

Pasaran halal dunia kini tidak lagi hanya tertumpu kepada produk pemakanan dan kecantikan semata-mata, sebaliknya, turut berkembang membabitkan perkhidmatan dan juga perubatan halal.

Lebih membanggakan, pencapaian luar biasa pemain industri halal menjadikan Malaysia sebagai prestasi terbaik global dalam pasaran bernilai AS$3 trilion.

Bagi mengiktiraf sumbangan organisasi dan individu dalam pertumbuhan industri halal, Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) menganjurkan Anugerah Kecemerlangan Halal Sedunia (WHEA) 2022.

Pada acara yang penuh gilang gemilang itu, HDC memberi pengiktirafan kepada 20 organisasi dan seorang personaliti.

Antara kategori anugerah adalah Anugerah Kecemerlangan Jenama Halal Terkemuka (Antarabangsa) yang diberikan kepada Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd atau lebih dikenali sebagai McDonalds Malaysia atas kecemerlangan dan konsistensi kreatif syarikat dalam menggalakkan penerimaan antarabangsa serta mendukung integriti halal.

Anugerah Kecemerlangan Kepemimpinan Halal 2022 diberikan kepada Pengerusi dan Presiden Kumpulan IsDB, Dr Muhammad Sulaiman Al Jasse, sebagai penghargaan atas kepemimpinannya menjalankan kajian analisis jurang ekosistem halal strategik di Malaysia dan kawasan lain, lapor BH.

Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

IMG 20230520 134402 6 x 4 inch
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Yang turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HDC, Hairol Ariffein Sahari, berkata Anugerah Kecemerlangan Halal Sedunia (WHEA 2022) diadakan bertujuan memberi motivasi kepada industri halal supaya berjuang dengan lebih gigih.

Katanya, industri halal memerlukan motivasi khususnya dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini di mana ekonomi dunia menjadi suram akibat COVID-19 sehingga menyebabkan ramai peserta industri yang kecundang.

“Namun, pada masa sama, masih terdapat peserta yang menunjukkan ketahanan sangat baik… Jadi, usaha itulah yang sebenarnya perlu kita raikan.

“Selain itu, menjadi persoalan besar pada peringkat lebih tinggi apabila negara luar bertanya siapakah juara Malaysia dalam industri Halal.

“Oleh itu, HDC memerlukan lebih banyak syarikat tempatan yang boleh diketengah dan dianugerahkan atas pencapaian mereka,” katanya. – nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

Ribuan ikan mati akibat kurang oksigen

JDT sedia ‘belasah’ Negeri Sembilan