TANAH MERAH, 16 Mac – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan PAS supaya tidak ‘bertanam tebu di bibir’ berhubung isu menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN).
Presiden UMNO itu sebaliknya, berkata jangan hanya bercakap sedap di mulut tetapi bila ia dijalankan dengan niat ikhlas UMNO, pemimpin yang mengetuai parti itu sendiri menolak.
“Yang meninggalkan MN bukan UMNO, yang meruntuhkan penyatuan ummah juga bukan UMNO, sebaliknya mereka (PAS) yang meruntuhkannya.
“Jadi saya fikir buat masa ini biarlah kami bersama dengan rakan-rakan dalam kerajaan Madani bagi membentuk kekuatan dan kestabilan politik.
“Biarlah mereka dengan cara mereka sendiri dan biarlah rakyat menilai sendiri,” katanya pada sidang media di Masjid Batang Merbau, di sini, lapor BH Online.
Media sebelum ini melaporkan, Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar terbuka ‘menghidupkan semula’ MN menerusi kerjasama politik antara parti berasaskan Melayu termasuk serpihannya, AMANAH.
Beliau turut memaklumkan selain UMNO dan sebagainya, AMANAH juga perlu dimasukkan.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, UMNO tidak mahu dicadangkan untuk diwujudkan semula MN.
“Bila mereka (PAS) berada dalam zon selesa, mereka mula menerajang, memukul dan menendang kawan-kawan.
“Jadi, biarlah ikhlas berpolitik walaupun politik itu berdasarkan kepada sistem demokrasi,” katanya.– Malaysiapost