in

Belia perlu rebut peluang bidang TVET

Gambar oleh Bernama

JOHOR BAHRU, 25 Ogos – Golongan belia perlu merebut peluang menceburi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kerana kursus ditawarkan disesuaikan mengikut keperluan pasaran guna tenaga sekali gus menjamin peluang pekerjaan pada masa depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan juga sudah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan institusi TVET dan pemain industri bagi memastikan lepasan bidang itu akan terus masuk ke pasaran.

“Di samping itu, ketika bekerja juga peluang untuk melanjutkan pengajian di peringkat kursus diploma dan ijazah sarjana muda akan terus ditawarkan kepada mereka.

“Jadi, bukan hanya mendapat kemahiran ketika bekerja yang bergaji penuh malah mereka turut mendapat peluang menyambung pengajian ke peringkat seterusnya.

“Sehubungan itu, belia perlu merebut peluang ini dan kita mahu mereka jadikan TVET ini sebagai pilihan pertama dan bukan pilihan kedua,” katanya lapor Bernama.

Ahmad Zahid berkata demikian selepas merasmikan Program Belia Desa MADANI@KKDW di B5 Johor Street Market, di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata berdasarkan statistik tahun lalu, kebolehpasaran graduan TVET mencapai tahap sehingga 92.5 peratus sekali gus membuktikan bidang itu melahirkan ramai belia yang mempunyai peluang pekerjaan dalam industri.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata tiga elemen dalam TVET iaitu kemahiran, pemahiran semula dan peningkatan kemahiran akan terus diutamakan bagi melahirkan lebih ramai generasi belia berdaya saing serta berkemahiran tinggi dalam sektor perkhidmatan.

“Skilling iaitu memberikan latihan kemahiran dan kedua, reskilling iaitu kursus tambahan supaya mereka lebih berketerampilan dan berkemahiran manakala upskilling ialah bagi mempertingkat kursus kemahiran bersesuaian dengan keperluan dan permintaan pasaran guna tenaga.

“Semua elemen ini penting supaya mereka dapat menggenggam ijazah dan kelulusan akademik yang lebih tinggi tanpa meninggalkan kemahiran yang telah mereka ceburi,” katanya.

Ahmad Zahid berkata setakat ini, terdapat sejumlah 1,344 institusi TVET awam dan swasta di seluruh negara termasuk di bawah kerajaan negeri.- nasionalkini.my

dd

Dakwa PATI, Dd Chronicle buat laporan polis lindungi ketenteraman keluarga

Kesungguhan Azmier memberi hasil