PRODUK makanan atau minuman dipasarkan kepada orang Islam di Malaysia perlu memiliki sijil halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Ia adalah perkara terpenting dan paling diutamakan pengeluar produk yang beroperasi di negara ini.
Namun berdasarkan rekod JAKIM, hampir 72 peratus atau 165,026 daripada keseluruhan 229,204 produk yang memegang sijil halal di Malaysia adalah dari syarikat yang pengusahanya bukan beragama Islam.
Selebihnya atau 16 peratus (7,466 produk) sahaja dihasilkan syarikat Bumiputera.
Data itu adalah merujuk kepada rekod JAKIM yang dikumpul dari tahun 2021 sehingga 10 April tahun lalu.
Bahkan, JAKIM sendiri memaklumkan lebih 20,000 produk dipasarkan di Malaysia dan memiliki sijil halal adalah dihasilkan syarikat bukan Bumiputera.
Menurut JAKIM, kebanyakan pengusaha produk makanan dan minuman Bumiputera ‘kurang berminat’ memohon pensijilan halal dikeluarkan pihaknya.
“Situasi ini jelas menunjukkan bahawa pemilik syarikat Bumiputera masih belum peka dengan kepentingan memiliki sijil halal daripada JAKIM.
“Status halal tidak hanya tertumpu kepada penghasilan produk, tetapi ia juga berkaitan dengan keadah pengeluaran, cara pembungkusan serta tahap kebersihan,” kata JAKIM dalam satu kenyataan media baru-baru ini.
Merujuk kepada kenyataan JAKIM itu, pengasas Rangkaian Klinik Nadi Iman Medical, Dr Abdul Rasid Md Ali berkata, kekurangan kesedaran dalam kalangan usahawan Bumiputera dalam hal pensijilan halal adalah satu kerugian besar.
Ini kerana katanya, prospek keuntungan melalui penjualan produk halal sangat lumayan selain berpotensi merentasi pasaran di peringkat global.
“Walaupun JAKIM memaklumkan tidak ada paksaan dalam memohon pensijilan halal, cuma rugilah kalau pengusaha produk Bumiputera tidak mengambil peluang ini,” katanya.
Dia juga menjelaskan, umat Islam di negara ini digalakkan memilih produk yang 100 peratus dihasilkan syarikat milik orang Islam.
“Tapi kalau tak ramai pengusaha muslim sendiri tidak memohon sijil halal JAKIM, susahlah kita nak sokong produk mereka.
“Sebab dalam mencari keberkatan itu, kita cuba elakkan daripada membeli atau menggunakan produk yang boleh dikategorikan sebagai ‘syubhah’.
“Ia lebih kepada kemahuan pengusaha Bumiputera itu sendiri, mereka selesa dengan status Bumiputera sedangkan pengusaha produk bukan Islam pula lebih bersungguh-sungguh mahu mendapatkan sijil halal untuk produk mereka,” katanya lagi.
Abdul Rasid turut menyuarakan kebimbangan jika produk Bumiputera tidak boleh ‘pergi jauh’ hanya disebabkan sikap pengusaha produk itu sendiri.
“Kita ingin melihat produk muslim Bumiputera ini lebih gah di pasaran supaya orang Islam tidak tersalah pilih makanan atau minuman meragukan status halalnya.
“Apabila produk keluaran Bumiputera menguasai pasaran, secara tidak langsung kuasa dan pengaruh juga bertambah kukuh.
“Inilah yang kita mahu, supaya orang Islam dan Bumiputera menguasai ekonomi negara kita melalui kekuatan capaian produk halal kepada pengguna,” katanya.
Dia menasihatkan pengguna muslim bijak dalam membuat penelitian terhadap bahan yang dibeli, sama ada bebas daripada unsur haram mahupun sebaliknya.
Abdul Rasid turut mencadangkan supaya proses permohonan sijil halal dipermudahkan, terutamanya kepada pengusaha Bumiputera.
“Kalau boleh perkenalkan konsep atau warna label halal berlainan untuk kategori produk.
“Sebagai contoh warna merah untuk produk keluaran bukan Bumiputera, warna hijau untuk produk keluaran muslim Bumiputera dan pelekat warna hitam bagi produk keluaran luar negara.
“Prosedur pensijilan juga boleh dipermudahkan, bergantung kepada jenis produk dihasilkan,” katanya.– nasionalkini.my