Oleh: Mohammad Ishak
KUALA BESUT,1 Julai – Kira-kira 300 keluarga nelayan di pusat pelancongan Pulau Perhentian dekat sini, gembira dapat berkongsi rezeki sempena sambutan Aidiladha apabila mereka menerima agihan daging korban sumbangan pihak yang prihatin dengan nasib keluarga terbabit.
Mahsuri Dagang Sdn. Bhd. (Mahsuri Dagang), Ikhlas.com dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut berganding bahu melaksanakan ibadah korban di kawasan lapang Temu Primula Hotel, Air Tawar,Besut dengan menumbangkan tiga ekor lembu termasuk lembu sado hari ini.
Tiga ekor lembu korban termasuk seekor lembu sado digelar ‘Mat Sado’ disembelih secara gotong-royong bersama sukarelawan termasuk 25 anggota polis IPD Besut.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya bangga kerana mendapat sumbangan tiga ekor lembu hasil sumbangan syarikat korporat terbabit.
Katanya, selain 300 keluarga nelayan di pulau pelancongan terkenal itu kira-kira 400 golongan asnaf yang tinggal di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera dan Kuala Besut, turut menerima agihan daging berkenaan.
Katanya, kerja menyembelih dan melapah daging tersebut dilakukan secara sukarelawan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Besut dan anggota polis di tanah besar sebelum dihantar ke pulau berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman kemudian mengagihkan daging sembelihan tersebut kepada komuniti di pulau terbabit.
Sementara itu, Ketua Komersial Mahsuri Dagang, Mohd. Jazri Ikmal Hijaz berkata, program ibadah korban ini adalah kali kedua dilakukan untuk penduduk di Pulau perhentian selepas kali pertama diadakan pada 2021 lalu.
“Sekiranya ada rezeki Mahsuri Dagang akan terus bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk terus membantu warga asnaf di negara ini,” katanya.

Selain itu, Mahsuri Dagang selaku pengeluar produk kicap lemak manis dan sos tiram turut mengagihkan barangan keluarannya bersama daging korban kepada penduduk daerah itu.
Sementara itu, Rose yang mewakili Ikhlas.com pula memberitahu sehingga kini sebanyak 64 ekor lembu disembelih termasuk 21 ekor untuk disumbangkan kepada golongan 6,000 penerima dalam kalangan asnaf.
“Untuk pakej luar negara, daging korban akan diagihkan kepada individu dan keluarga yang memerlukan membabitkan lebih 35 negara termasuk Kemboja,Thailand,Vietnam,Filipina,Bangladesh,India,Indonesia,Kenya, Somalia dan Tanzania,”katanya. – nasionalkini.my


