KUALA LUMPUR, 4 Jun – Bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan legenda China, Li Dan, disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran (Hall of Fame) Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Kedua-dua pemain itu menerima pengiktirafan berkenaan pada 26 Mei lalu berikutan sumbangan cemerlang terhadap sukan badminton di luar gelanggang dalam tempoh masa yang signifikan.
Menurut badan antarabangsa yang bertanggungjawab dalam hal-hal berkaitan dengan sukan badminton, pengiktirafan yang diberikan kepada Chong Wei dan Lin Dan dibuat selepas mendapat cadangan daripada Suruhanjaya Anugerah BWF, berdasarkan kriteria pemilihan yang ditetapkan di bawah Peraturan Anugerah BWF.
“BWF mengiktiraf pencapaian dan sumbangan legenda sukan ini dan berharap dapat menyenaraikan lebih banyak juara ke dalam Dewan Kemasyhuran BWF dalam tahun-tahun mendatang,” kata BWF dalam kenyataan, malam ini.
Bagaimanapun, penyenaraian Chong Wei dalam Dewan Kemasyhuran BWF kurang disenangi oleh legenda badminton Indonesia, Taufik Hidayat, susulan tular video yang mempersoalkan kelayakan bekas pemain nombor satu negara.
Taufik menyifatkan hanya Lin Dan layak mendapat pengiktirafan tersebut.
Sementara itu, Chong Wei, 41, pula meminta Taufik untuk mendapatkan penjelasan terperinci daripada BWF berhubung pengiktirafan berkenaan.
Malah, pemain dunia itu berharap badan dunia dapat mengeluarkan kenyataan berhubung perkara berkenaan. – nasionalkini.my