Oleh Adnan Mohamad
SETIU, 23 Jun – Nasib menimpa Norhayati Zainal, 36 tahun yang kehilangan suami minggu lalu mendapat perhatian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Saujana, dekat sini.
Pengetua sekolah itu, Muhammad Awang Teh tampil menyampaikan sumbangan wang tunai RM750 bagi meringankan beban ditanggung Norhayati, semalam.
Suami Norhayati, Zunairi Mohd Sulong, 38 tahun meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke Kampung Fikri, untuk mengambil botnya bagi menangkap ikan.
Kemalangan itu berlaku pada 14 Jun lalu, kira-kira jam 6 pagi.
Motosikal ditunggang Zunairi dikatakan terbabas dan dia kemudiannya dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu sebelum disahkan meninggal dunia.
Pasangan itu mempunyai dua anak, Afiq Haikal berusia 15 tahun dan adiknya, Muhammad Aizat Hasrul, 13 tahun.
Mereka bersekolah di SMK Padang Saujana.
Dalam pada itu, Norhayati berkata, dia tidak menyangka guru dan kakitangan sekolah berkenaan sanggup mengutip sumbangan untuk keluarganya.
“Saya sangat terharu dengan sikap prihatin ditunjukkan warga sekolah, terutamanya pengetua yang begitu mengambil berat terhadap nasib anak kami,” katanya.
Selain sumbangan wang tunai, warga SMK Saujana turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas lain.
Sementara itu, Muhammad memaklumkan sumbangan dikutip oleh warga sekolah berkenaan dilakukan atas dasar simpati dan prihatin dengan kesukaran dihadapi keluarga Norhayati.
Katanya, kejadian mengejut itu sudah tentu akan memberi kesan kepada keluarga berkenaan dan berharap sumbangan disampaikan kepada Norhayati dapat meringankan kesukaran sedang dihadapi mereka. – nasionalkini.my