MEXICO CITY,1 Julai – Cuaca panas melampau di negara ini sepanjang Jun telah mengorbankan lebih 100 penduduk susulan beberapa siri gelombang haba yang melanda negara Amerika Latin itu.
Memetik thenews.com, pemanasan global memburukkan lagi cuaca dengan banyak negara mengalami rekod suhu tinggi.
Menurut angka Kementerian Kesihatan, lebih 1,000 panggilan kecemasan berkaitan haba dilaporkan di Mexico antara 12 Jun dan 25 Jun, di mana 104 daripadanya mengakibatkan kematian.
Malah, pihak berkuasa melaporkan lapan kematian antara 14 April dan 31 Mei, menjadikan jumlah keseluruhan 112.
Katanya lagi, punca utama kes adalah daripada strok haba diikuti oleh dehidrasi.
Wilayah utara Mexico melaporkan kematian paling banyak, dengan 64 kematian direkodkan di Tamaulipas, timur negara itu yang terletak bersempadan dengan negeri Texas, yang turut dilanda panas melampau.
Di Mexico, suhu maksimum 49 darjah Celcius direkodkan minggu ini di negeri barat laut Sonora. Purata suhu maksimum di Mexico ketika musim panas turun naik antara 30 dan 45 darjah Celcius.
Pihak berkuasa memberi amaran bahawa satu lagi gelombang haba boleh menjejaskan negara dengan 127 juta penduduk mulai bulan ini. – Agensi