in

Tahap jagaan pesakit mental di Sang Riang sangat memuaskan

BERA, 21 April – Konsep penjagaan kesihatan penghuni Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang sentiasa mendapat pujian.

Kali ini, tahap keselamatan terhadap penghuni, terutama pesakit mental menerima pengiktirafan daripada Lembaga Pelawat Psikiatri yang mengunjungi rumah kebajikan itu.

Pengerusi Lembaga Pelawat berkenaan, Dr Saniah Senik berkata, pengurusan secara sistematik diamalkan di rumah kebajikan terbabit sangat memudahkan penghuni.

“Aspek keselamatan penghuni juga diberi keutamaan oleh pihak pengurusan.

“Selain itu, setiap penghuni mempunyai rekod kesihatan tersendiri dalam fail masing-masing.

“Bekalan ubatan juga ditandakan dengan warna yang memudahkan penjaga memantau setiap penghuni,” katanya.

Dia turut berpuas hati dengan setiap langkah keselamatan dan pengurusan pesakit mental di Sang Riang.

“Kita sangat kagum dengan komitmen pihak pengurusan dalam memberi perkhidmatan jagaan terbaik secara percuma kepada penghuni di sini,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Sang Riang, Yap Yoke Moey berterima kasih dengan kunjungan ahli lembaga pelawat ke rumah kebajikan berkenaan.

“Walaupun kos operasi semakin meningkat, namun Sang Riang akan terus memberi perkhidmatan terbaik kepada penghuni di sini.

“Dalam masa yang sama, kita mengalu-alukan sumbangan daripada orang perseorangan dan syarikat korporat dalam memastikan operasi Sang Riang terus berjalan lancar,” katanya.— nasionalkini.my

Solidariti bersama Kerajaan Pahang di Mahkamah Tinggi Kuantan

Undi Melayu penentu PRK Kuala Kubu Bharu