BESUT, 19 Julai – Setelah lebih 20 tahun bertahan menjual nasi ayam pada harga RM1.90 sepinggan, seorang peniaga terpaksa menaikkan kepada RM3 ekoran kenaikan kos operasi sejak akhir-akhir ini.
Yusniraaida Mat Yusof, 44, berkata, dia sudah tidak mampu lagi bertahan menampung kenaikan harga bahan mentah seperti ayam, timun, tomato, salad dan cili merah.
“Selama 20 tahun kami bertahan menyerap kenaikan kos demi mengekalkan harga RM1.90 nasi ayam diusahakan.
“Walaupun sedih kerana kebanyakan pelanggan kami terdiri daripada penduduk kampung yang berpendapatan rendah, kami terpaksa juga menaikkan (harga nasi ayam) kepada RM3,” katanya ketika ditemui KOSMO di kedai makannya di Kuala Besut di sini semalam.
Dulu RM1.90 sekarang RM3 dan masih murah berbanding tempat lain
Terdahulu tular video penjelasan berhubung kenaikan harga nasi ayam tersebut yang mendapat reaksi netizen selepas dimuat naik anaknya, Suhaida Sulaiman, 22, di media sosial.
Yusniraaida berkata, setakat ini, dia menerima reaksi bercampur baur berhubung kenaikan harga nasi ayam jualannya.
Jelasnya, segelintir mengecam, namun ramai masih menyokong perniagaan Kedai Nasi Ayam Kuala Besut diusahakannya sejak awal 2000-an.
“Mereka menganggap nasi ayam berharga RM3 masih antara termurah di Terengganu dan mungkin di negara ini.
“Walaupun berharga murah, kualitinya tidak pernah dikurangkan dan saiz hidangannya juga sama besar seperti dinikmati di premis makanan lain,” katanya.- nasionalkini.my