KUALA LUMPUR, 1 Julai – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan Jemaah Menteri mempunyai pas khas (VIP) untuk memasuki setiap ruang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Justeru, tidak timbul isu apabila Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing masuk ke dewan ketibaan lapangan terbang berkenaan.
“Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah bagi laporan kepada saya semalam, dan semasa King Sing berada di KLIA itu memang diiringi oleh polis bantuan dan anggota keselamatan MAHB.
“Dari segi isu pas keselamatan, itu tak jadi isu, sebenarnya setiap menteri ada pas VIP untuk masuk ke lapangan terbang walaupun kadangkala kita bukan mengambil penerbangan.
“Semalam, saya juga berada di lapangan terbang, bukan saya mengambil penerbangan, tetapi saya lancarkan satu penerbangan, jadi saya masuk ke kawasan larangan seperti balai berlepas dan sebagainya,” katanya.
Tegas beliau, King Sing sememangnya layak memasuki kawasan larangan di KLIA sekiranya ada tugasan rasmi.
Terdahulu, tular mengenai seorang menteri didakwa menceroboh masuk ke balai ketibaan antarabangsa KLIA bagi membebaskan pelawat China yang ditahan pihak imigresen.
Kejadian itu berlaku apabila menteri terbabit dikatakan masuk ke ruangan itu tanpa memohon pas keselamatan.
Perbuatannya dipercayai bagi ‘menyelamatkan’ seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukan ke negara ini sebaik tiba di lapangan terbang. – nasionalkini.my