LONDON, 29 Jun – Bintang Manchester United, Antony menafikan dia menyerang bekas teman wanitanya dan berazam untuk membersihkan namanya selepas disoal siasat polis di Brazil.
Dia membuat kenyataan kepada peminat di Instagram, tiga minggu selepas DJ dan pempengaruh Gabriela Cavallin membuat laporan polis mendakwa penyerang berharga £86 juta (RM507 juta) itu menyerangnya di Sao Paulo dan Manchester, lapor AFP.
Gabriela menuduh Antony menyerangnya empat kali dalam laporan polis di Sao Paulo.
Dalam kenyataannya, Antony menjelaskan dia berdiam diri hinggalah selepas memberikan kenyataannya kepada polis.
Pemain bola sepak itu juga menegaskan dia yakin kebenaran akan terbukti dan imejnya yang terjejas ‘akan menjadi sesuatu yang sudah berlalu’.
Dia menulis: “Kepada rakan, penyokong dan pengikut. Demi kalian, selepas memberi keterangan di balai polis yang mana siasatan membabitkan nama saya dijalankan, saya mahu bercakap secara terbuka buat kali pertama sejak saya dituduh secara palsu melakukan serangan.

“Saya berdiam diri sehingga saat ini supaya tiada apa yang boleh mengganggu proses siasatan, tetapi sepanjang masa hingga hari ini saya dan keluarga menderita dalam diam.
“Sekalipun saya dilahirkan dan dibesarkan dalam komuniti yang kurang bernasib baik, saya tidak pernah melalui situasi seperti ini, yang mana tuduhan palsu serangan ini mencetus takrifan yang tidak baik di khalayak umum oleh segelintir pihak.
“Selepas siasatan berakhir, kebenaran akan terbukti, sudah tentu keadilan akan ditegakkan dan imej saya yang terjejas pada awalnya menjadi satu perkara lampau.
“Terima kasih atas mesej sokongan yang tidak terhingga banyaknya yang diterima ketika masa yang amat sukar ini.”
Polis di Brazil membuka siasatan mengenai keganasan domestik, ancaman dan kecederaan badan, lapor penyiar terbesar Brazil, Globo.
Gabriela, 23, dikatakan menyerah gambar didakwa mengalami kecederaan di balai polis di Sao Paulo awal bulan ini. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN