in

Man United kembali ke saingan Liga Juara-juara

The Red Devils layak ke saingan Liga Juara-juara musim depan selepas menewaskan Chelsea 4-1 awal pagi tadi - Gambar oleh Agensi

MANCHESTER, 26 Mei – Erik ten Hag berkata, Manchester United kembali ke tempat sepatutnya selepas menewaskan Chelsea 4-1 untuk mengesahkan kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah.

Casemiro, Anthony Martial, Bruno Fernandes dan Marcus Rashford menemui sasaran untuk melonjak United ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris.

Chelsea pula semakin sengsara walaupun berbelanja besar dalam pasaran perpindahan apabila tewas buat kali kelapan dalam 10 perlawanan di bawah bimbingan Frank Lampard.

Ten Hag sebaliknya, mengharungi musim pertama yang cemerlang dengan memastikan kedudukan dalam kelompok empat teratas liga serta menamatkan kemarau trofi selama enam tahun menerusi Piala Liga pada Februari.

United mampu menambah satu lagi trofi bulan depan sekiranya mampu menewaskan juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City pada final Piala FA.

Namun sasaran utama Ten Hag ialah berada dalam kelompok elit Eropah musim depan selepas mengambil alih pasukan yang menamatkan kempen 2021-22 di tangga keenam.

“Saya rasa ia musim yang berjaya tetapi ia belum berakhir. Kelab ini berhak berada dalam Liga Juara-Juara, tetapi liga ini sangat kuat dengan banyak kelab bersaing untuk kedudukan ini.

“Sasaran utama musim ini ialah kembali ke Liga Juara-Juara. Ia perlawanan yang sukar, dibarisi pasukan-pasukan dengan skuad yang amat bagus, pengendali yang hebat, jadi anda melakukan kerja yang bagus (untuk layak).

“Buat masa sekarang ia sudah sampai ke kemuncak tetapi kami mahukan lebih lagi,” kata Ten Hag.

Ketibaan Casemiro dari Real Madrid menjadi titik tolak kepada kebangkitan United. Pemain 31 tahun itu menghukum skuad muda Chelsea yang kurang berkesan di bahagian pertahanan dan serangan.

“Hari ini ia menunjukkan realiti sebenar antara United dan kami. Keputusan untuk Chelsea musim ini tidak begitu bagus,” kata Lampard.

Dalam aksi di Old Trafford itu, Mykhailo Mudryk terlepas peluang meletakkan Chelsea di depan pada minit kelima.

Seminit kemudian, Casemiro mudah menanduk masuk bola sepakan percuma Christian Eriksen.

Malam yang hebat buat United dibayangi kecederaan Antony, yang terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan buku lali dan mungkin tidak dapat beraksi pada final Piala FA 10 hari lagi.

Martial kemudian menambah jaringan dalam masa kecederaan babak pertama selepas mendapat hantaran daripada Jadon Sancho.

Fernandes menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-73 selepas dia dijatuhkan oleh Wesley Fofana.

Rashford melengkapkan kemenangan United dengan menjadi pemain pertama kelab itu dalam tempoh sedekad meledak 30 gol semusim.

Joao Felix menjaringkan gol tunggal Chelsea di akhir permainan sekali gus menafikan David de Gea daripada meraih perlawanan tanpa bolos ke-18 musim ini. – nasionalkini.my

Lelaki ditahan hina institusi raja

ilustrasi mayat 811

Imam meninggal dunia ketika main badminton