KEPRIHATINAN Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang terserlah apabila Paduka Baginda sanggup turun dari kenderaan untuk membantu mangsa kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan dari bermain padel di sebuah hotel di Kuantan, Pahang pada Sabtu, 31 Mei 2025.

Ketika melalui Jalan Teluk Sisek pada pukul 6.55 petang kebetulan berlaku satu kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta sehingga menyebabkan penunggang motosikal, Hadzirul Zazlin Bin Mahadzir, 27, terbaring kesakitan dengan kecederaan kaki dan tangan.
Tanpa berlengah, Paduka Baginda segera menenangkan mangsa dengan menitipkan nasihat dan meminta pengawal pengiring menghubungi ambulans.
“Bersabar, Istighfar banyak-banyak dan ingat Allah,” demikian titah Paduka Baginda agar mangsa kemalangan tidak panik dan mengurangkan kesakitan.
Paduka Baginda bukan sahaja mengurniakan sumbangan peribadi tetapi sanggup menunggu sehingga bantuan sampai dan memastikan mangsa kemalangan di bawa hospital untuk rawatan dengan segera.
Hadzirul yang beralamat di Indera Mahkota dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut. – NASIONALKINI