in

United menang tipis ke atas Wolves

Gambar oleh Reuters

MANCHESTER, 15 Ogos – Pertahanan Manchester United, Raphael Varane menjaringkan gol kemenangan lewat perlawanan ketika tuan rumah terselamat daripada beberapa ancaman sebelum mengatasi Wolverhampton Wanderers 1-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.

Tandukan Varane selepas 76 minit membantu United meraih tiga mata ketika dia menyempurnakan hantaran lintang Aaron Wan-Bissaka, jelas melegakan penonton tuan rumah yang gementar dan pengurus Erik ten Hag yang kecewa.

Wolves dilabel sebagai kelab bermasalah minggu lalu selepas menjual beberapa pemain utama dan pengurus dari Sepanyol, Julen Lopetegui meninggalkan kelab sebelum digantikan oleh bekas bos Bournemouth, Gary O’Neil lima hari lalu.

Namun pelawat yang lebih banyak mencipta peluang baik, cukup untuk memenangi perlawanan itu dan rayuan mereka untuk mendapatkan sepakan penalti lewat aksi ditolak oleh video bantuan pengadil (VAR) di Old Trafford.

Penjaga gol baharu United, Andre Onana bertembung dengan pemain gantian Sasa Kalajdzic dalam menangani bola hantaran lintang namun pengadil Simon Hooper meneruskan permainan dan VAR bersetuju, tidak hairan ia mencetus kemarahan O’Neil, yang meraih kad kuning kerana bantahannya.

“Ia satu perjuangan, kami perlu mencari jalan untuk menang dan itulah yang kami lakukan. Wolves pasukan yang bagus, kami sedar perlu bermain bagus untuk meraih mata,” kata Ten Hag kepada Sky Sports.

“Kami patut lebih bagus bersama bola, lebih tenang.

“Kami memberikan terlalu banyak ruang mudah buat lawan ketika memegang bola, terutama pemain barisan hadapan kami. Tetapi kami akan meningkat.”- nasionalkini.my

Ayam segar kembali naik harga

sekolah 3

Sekolah anak-anak Palestin diserang