in

Hilang gaji lepas potong kaki

Mohd. Shaz­wan Md Garip (tengah) bersama anak-anaknya menumpang kasih di rumah ibu bapanya di Johor Bahru selepas dia terlibat kemalangan, April lalu sehingga kaki kanannya terpaksa dipotong - Gambar oleh Media Mulia

Oleh Luth Adwa

JOHOR BAHRU, 29 Jun – Bukan sahaja hilang kaki kanan akibat kemalangan jalan raya pada April lalu, seorang pemandu lori reda apabila turut kehilangan gaji RM3,000 kerana tidak lagi boleh bekerja.

Kini, Mohd Shaz­wan Md Garip, 42, yang telah berpisah dengan isterinya tahun lalu, bergantung kepada pencen bapanya, Md Garip Abu Hassan, 77.

Bapanya itu adalah pesara tentera dan Mohd Shazwan kini menyara kehidupannya bersama lima anak yang masih kecil menggunakan duit pencen itu.

Mohd Shazwan berkata, kemalangan berlaku ke­tika dia menunggang motosikal dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Pasir Gudang.

“Motosikal dinaiki saya dilanggar sebuah kereta yang turut menggilis kaki saya.

“Saya dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dan doktor gagal menyelamatkan kaki saya kerana banyak urat putus.

“Walaupun luka pembedahan saya sudah sembuh dan saya mampu bergerak dengan menggunakan alat sokongan, namun saya masih tidak dapat mengurus diri, anak-anak mahupun memandu,” katanya ketika ditemui di sini.

Mohd Shazwan berkata, dia kini dibantu oleh ibunya, Zawiyah Ahmad, 70, untuk menguruskan dirinya serta menjaga anaknya berusia antara tiga hingga 14 tahun.

Sementara itu, Md Garip dan isterinya reda dengan suratan takdir dan berharap anak ketiga daripada tujuh beradik itu tabah menghadapi ujian dan dugaan Allah SWT.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Mohd Shazwan di talian 0123258614 atau 0108955792.

Mereka juga boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB bernombor 7041324727 milik Mohd Shazwan. – nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

Antony nafi serang bekas teman wanita

‘Sila maklum kepada saya’, pengerusi MARA beritahu pelajar cemerlang susah tak dapat bantuan