MANCHESTER, 27 Julai – Manchester United kini berdepan saingan sengit dalam usaha mendapatkan Rasmus Hojlund selepas Paris Saint-Germain turut membuat bidaan untuk penyerang Atalanta itu.
Hojlund antara sasaran utama pengendali United, Erik ten Hag dalam jendela perpindahan kali ini dan pemain itu dilaporkan sudah bersetuju dengan syarat-syarat peribadi ditawarkan Red Devils.
Bagaimanapun PSG cuba memintas perpindahan Hojlund ke Old Trafford dengan menawarkan 43 juta pound (RM253.57 juta) – sama dengan jumlah ditawarkan United tetapi kelab Liga Perdana Inggeris itu menawarkan tambahan 8 juta pound (RM47.17 juta) dalam bentuk bonus.
Atalanta meletakkan harga 86 juta pound (RM507.13 juta) untuk pemainnya itu dan menolak tawaran United sebelum ini – yang disertakan dengan pertukaran pemain.
Paling rendah jumlah yang sanggup diterima Atalanta ialah 60 juta pound (RM353.81 juta), tetapi ia mungkin berubah selepas mereka mendapat penyerang Almeria, El Bilal Toure.
Menurut Ten Hag, ada kemajuan dalam rundingan dengan kelab Serie A itu dan dia akan mengumumkannya sebaik ia disempurnakan.
“Ada kemajuan. Kami tahu prosesnya dan apabila berjaya mendapatkannya, kami akan memaklumkan terus kepada anda.
“Apa yang boleh saya katakan ialah kami sedang berusaha untuk menyempurnakannya.
“Jika keputusan di tangan saya, sudah tentu saya mahukannya secepat mungkin,” kata Ten Hag kepada AFP.- nasionalkini.my