KOTA BHARU, 5 Ogos – Bekas pemain remaja kebangsaan, Sean Selvaraj muncul wira Negeri Sembilan FC (NSFC) apabila meledak gol tunggal kemenangan 1-0 ke atas Kelantan United pada aksi Piala Malaysia di sini petang tadi.
Sean, yang pernah beraksi dengan pasukan B-19 dan B-23 negara, memastikan kemenangan pelawat menerusi gol pada babak pertama bagi aksi pertama, pusingan 16 terakhir di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, lapor BH.
Sepakan sudut diambil Mahalli Jasuli pada minit ke-28 disudahkan dengan tandukan padu Sean bagi meletakkan pasukannya di depan.
Tuan rumah bagaimanapun bertindak garang pada babak pertama namun kecewa apabila beberapa percubaan pemain importnya, Ismaheel Akinade gagal memecah kebuntuan.
Anak buah Ailton Dos Santos Silva dikecewakan beberapa kali oleh kecekapan penjaga gol NSFC, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.
Keputusan 1-0 menyaksikan skuad Jang membawa bekalan tipis bagi aksi kedua pada 20 Ogos ini.- nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN