KUANTAN, 20 Ogos – Sri Pahang FC layak ke suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Harini Selangor FT 2-0 pada aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, petang tadi.
Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Fandi Ahmad menewaskan kelab M3 itu 5-2 secara agregat selepas menang 3-2 pada perlawanan pertama, 4 Ogos lalu.
Dua gol hasil sumbangan penyerang berbisa, Kpah Sherman sudah cukup untuk memastikan skuad Tok Gajah melangkah ke suku akhir piala berprestij itu.
Namun, Sri Pahang terpaksa menunggu hingga minit ke-42 untuk membolosi gawang Harini Selangor hasil sentuhan Sherman.
Terdahulu, Harini Selangor turut mempunyai peluang untuk menjaringkan gol pendahuluan tetapi Muhd Fikri Mohd Shah yang hanya berdepan penjaga gol tuan rumah, Izham Tarmizi Roslan gagal melakukan penyudah tepat pada minit ke-30.
Dua minit kemudian, rembatan Sergio Aguero hampir meletakkan tuan rumah di depan tetapi percubaan kapten pasukan itu berjaya diselamatkan penjaga gol, Hafizul Hakim.
Bersambung babak kedua, Sri Pahang menggandakan serangan ke kubu lawan dan usaha itu berhasil apabila tidak menunggu lama untuk menambah gol kedua menerusi Sherman pada minit ke-51, lapor BH.
Skuad Tok Gajah akan membuat perhitungan menentang KL City pada suku akhir bulan depan.- nasionalkini.my