in

Pekebun durian rugi dakwa pokok mati secara misteri

Gambar hiasan

KUALA NERUS, 20 Ogos – Seorang pekebun mendakwa rugi lebih RM60,000 apabila enam pokok durian miliknya, termasuk Musang King dan Udang Merah mati secara tiba-tiba.

Lebih menyedihkan Mohd Amir Nazrin Azenan, 31, durian tular dirujuk dengan nama Cikgu Wei (CW) turut diserang penyakit misteri itu sejak akhir Julai lalu.

Menurut pekebun dari Kampung Lingai itu, dia sedih melihat satu demi satu pokok durian yang ditanam bapa tirinya, Ismail Tawang, 76, diserang penyakit dan seterusnya mati.

“Pokok durian diserang penyakit itu menjadi kekeringan sehingga daun gugur, seterusnya mati. Sebahagian pokok durian pula rosak pada batang, akar jadi berair dan kehitam-hitaman.

“Beberapa pokok durian yang diserang penyakit itu tetap mengeluarkan buah, tapi saiznya kecil berbanding biasa, macam tak cukup zat,” katanya ketika ditemui BH hari ini.

Tambahnya, kebunnya mempunyai 50 pokok durian pelbagai jenis, berkurangan daripada 60 pokok pada 2018.

“Semua pokok durian berusia lebih 30 tahun ini dijaga sebaik mungkin, termasuk dibaja pada tahun dengan kos ribuan ringgit. Bagaimanapun, sejak ayah diserang penyakit angin ahmar pada 2020, pokok durian juga sakit.

“Musim durian sekarang tidak meriah seperti sebelum ini kerana banyak pokok terjejas diserang penyakit dan pengeluaran juga tidak banyak. Penyakit itu cepat merebak jika tidak dikawal.

“Saya sudah buat segala usaha untuk menyelamatkan pokok durian di kebun, termasuk menggunakan racun khas untuk memusnahkan virus yang merebak pada batang pokok. Hasilnya 80 peratus berkesan,” katanya.- nasionalkini.my

Semua jenazah selesai dituntut waris, keluarga

Sri Pahang mara ke suku akhir Piala Malaysia