KOTA KINABALU, 15 Julai – Sabah FC membelasah Sri Pahang FC 4-0 dalam aksi Liga Super yang menyaksikan tuan rumah tampil lebih bertenaga dan mendominasi permainan di Stadium Likas malam ini.
Kejayaan tanpa bolos skuad Sang Badak itu sekali gus menepati misi Sabah untuk tidak memberi ruang kepada Pahang selaku pasukan tiga teratas liga ketika ini.
Lebih manis, jaringan besar Sabah malam ini dicapai ketika penampilan terakhir kaptennya, Baddrol Bakhtiar yang diturunkan pada minit ke-79 menggantikan Park Taesu.
Baddrol sebelum ini diumumkan tidak lagi bersama Sabah FC selepas perlawanan malam ini dan dikhabarkan bakal menukar gelanggang ke bidang politik.
Empat gol tuan rumah, masing-masing dua dijaringkan pada separuh masa pertama dan kedua dengan dua gol dijaringkan Darren Lok pada minit kelapan dan ke-64.
Dua gol lagi masing-masing dijaringkan Ramon Machado de Macedo pada minit ke-42 dan Stuart John Wilkin pada minit ke-68.
Secara keseluruhan, Sabah berjaya menguasai sepanjang permainan menerusi pergerakan lebih teratur dan bertenaga berbanding penampilan mereka dalam perlawanan sebelum ini.
Walaupun terpaksa berdepan pertahanan lawan yang sentiasa berhati-hati, skuad Sang Badak jelas dapat bermain dengan baik dan tidak memberi ruang kepada pemain Pahang mengawal bola agak lama.
Ia membuatkan pasukan pelawat agak tertekan dan jarang mendapat peluang melakukan serangan balas, sebaliknya lebih banyak berada di kawasan sendiri bagi menghalang kemaraan Sabah.
Penampilan Sabah malam ini juga nampak lebih tersusun dengan hantaran antara pemain yang lebih tepat dan sukar dipintas pemain Pahang.- nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN