KUANTAN, 30 Julai – Sri Pahang FC mengutip tiga mata selepas menewaskan Perak FC 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, petang tadi.
Jaringan penyerang import, Kpah Sherman pada babak kedua memastikan skuad Tok Gajah kembali mencatat kemenangan selepas tewas 0-4 kepada Sabah FC pada 15 Julai lalu.
Namun, pada perlawanan itu, permainan berhati-hati dipamerkan kedua pasukan sepanjang tempoh 20 minit pertama perlawanan, lapor BH.
Peluang terbaik Sri Pahang hadir menerusi sentuhan Stefano Brundo tetapi tandukan pemain import itu terkena tiang gol pada minit ke-22.
Lima minit kemudian, pemain tengah import, Kuvondik Ruziev turut memiliki peluang menjaringkan gol tetapi bola rembatannya sedikit melepasi palang.
Minit ke-29, pertahanan Perak, Raja Imran Shah Raja Amin hampir menghasilkan gol tetapi tandukan lemah memudahkan penjaga gol tuan rumah, Izham Tarmizi Roslan menangkapnya.
Pemain tengah Tok Gajah, Baqiuddin Shamsuddin berpeluang menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-33, namun bola tendangannya sekadar menuju tiang sebelah kiri gol lawan.
Bersambung babak kedua, gol pendahuluan dicari-cari Sri Pahang hadir menerusi jaringan penyerang import, Sherman selepas menewaskan penjaga gol lawan, T Shaheeswaran pada minit ke-55.
Ketinggalan 0-1, Perak berusaha mencari gol penyamaan namun pertahanan kental tuan rumah menyebabkan jaringan yang diinginkan tidak berhasil.
Kemenangan itu menebus kekecewaan Sri Pahang tewas kepada Sabah manakala Perak pula terlepas peluang membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata di tempat lawan.- nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN