KUALA TERENGGANU, 13 Ogos – Buat pertama kali dalam sejarah, Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu tidak akan mempunyai pembangkang selepas Perikatan Nasional (PN) menyapu bersih semua kerusi ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.
PN yang bertanding menggunakan lambang PAS, menang bergaya apabila menyapu bersih 32 DUN ditandingi dengan gabungan PAS dan BERSATU, sekali gus mencapai sasaran diletakkan sebelum ini.
Memetik Berita Harian, kemenangan itu meranapkan impian Barisan Nasional (BN) untuk kembali memerintah Terengganu bersama rakan gabungan mereka, Pakatan Harapan (PH).
Lebih mengejutkan nama-nama besar daripada BN termasuk dua bekas Menteri Besar Terengganu iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Said dan Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abdul Rahman, kecundang di kerusi yang menjadi kerusi tradisi BN.

Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, tewas di DUN Kijal yang dikuasainya sejak 1990 apabila hanya memperoleh 9,645 undi.
Begitu juga di DUN Seberang Takir yang pertama kali berjaya ‘dibolosi’ PN menerusi Khazan Che Mat yang juga bekas ADUN Batu Rakit meninggalkan lawannya bekas Menteri Besar Ahmad Razif.
Cubaan pertama Khazan yang pernah bersama UMNO sebelum ini bertanding di kerusi DUN Seberang Takir itu membuahkan hasil apabila memperoleh 12,156 undi dengan majoriti 2,797 undi berbanding penyandangnya, Ahmad Razif (9,359 undi).
Ketika itu, Ahmad Samsuri memenangi kerusi DUN Rhu Rendang selepas memperoleh 13,851 undi menewaskan calon BN, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (7,823 undi) dan calon PKR, Sarawi Sulong (729 undi).
Kemenangan PAS bersama rakan gabungannya, BERSATU berjaya menamatkan ‘badi’ kerajaan sepenggal yang diberikan kepada parti itu sebelum ini. – nasionalkini.my